Isu kemasukan pelajar ke IPTA usah dipolitikkan – Zambry

Isu kemasukan pelajar ke IPTA usah dipolitikkan – Zambry

am@hmetro.com.my

Tanjung Malim: Isu kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak seharusnya dijadikan modal politik sehingga sehingga menjejaskan peluang pendidikan mereka, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, perkara berkaitan peluang pendidikan tidak sepatutnya dipergunakan sebagai agenda politik kerana ia berisiko menjejaskan masa depan pelajar yang benar-benar layak.

“Saya ingin menegaskan soal pendidikan ini janganlah kita politikkan keterlaluan sehingga asas sebenar memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada seluruh anak-anak (pelajar) tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Anugerah Pendidik Global (GEA) di sini, hari ini.

Zambry menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memastikan proses pemilihan dilakukan dengan adil menerusi sistem merit di peringkat Unit Pusat Universiti (UPU).

Beliau berharap pemilihan berdasarkan merit ini tidak lagi dipertikaikan kerana sistem itu terbukti berkesan sejak sekian lama dalam menyaring kemasukan pelajar ke jurusan kritikal seperti kedoktoran, perakaunan dan kejuruteraan komputer.

“Sekiranya ada masalah mengapa pelajar ini tidak dapat masuk disebabkan keputusan baik, boleh dirujuk kepada pihak UPU.

“Di pihak UPU sentiasa terbuka untuk memaklumkan kepada ibu bapa supaya mereka lebih memahami mengenai kemasukan pelajar ke IPTA dengan lebih jelas,” katanya.

Selain IPTA, Zambry turut mengingatkan bahawa peluang pendidikan kini lebih luas menerusi program berkemahiran tinggi seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top