am@hmetro.com.my
Jelebu: Didakwa terbiar sejak empat bulan lalu, penduduk sekitar Kuala Klawang, dekat sini mahu Hotel Sri Klawang yang diuruskan oleh Majlis Daerah Jelebu (MDJ) ‘dihidupkan’ semula bagi mengelakkan lokasi berkenaan menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral terutama pada sebelah malam.
Penduduk, Rosman Bidin,55, berkata, menjadi kebiasaan apabila premis terbiar begitu lama akan menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral.
Katanya, MDJ perlu memastikan aspek berkaitan bagi mengelak bangunan itu tidak disalah gunakan.
“Kita tidak mahu aset milik kerajaan terbiar begitu sahaja dan jika belum ada mana-mana pihak yang berminat menguruskan hotel berkenaan seperti operator sebelum ini, kerajaan negeri boleh fikir sesuatu.
“Jangan biarkan hotel berkenaan terus terbiar dalam tempoh yang lama sehingga menjadi satu pembaziran,” katanya.
Katanya, ia sekali gus boleh menimbul pandangan negatif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Rosman berkata, MDJ mungkin boleh menguruskan hotel berkenaan sendiri tanpa perlu mencari operator berkelayakan, atau menjual kepada pihak yang berminat jika usaha itu gagal.
Bagi Sharifah Rohaizah Syed Azlan Shah,41, pula MDJ perlu mencari operator bagi menguruskan hotel berkenaan dengan segera.
Katanya, membiarkan hotel berkenaan tidak beroperasi boleh menyebabkan pelbagai masalah timbul.
“Hotel ini mampu menarik orang ramai jika diuruskan dengan baik, apatah lagi daerah ini tidak mempunyai banyak hotel.
“Perbaiki dan baik pulih kerosakan yang ada termasuk menggantikan peralatan seperti almari lama dan katil yang sudah usang mengikut peredaran zaman.
“Pencahayaan perlu dalam keadaan baik…sayang jika tidak diuruskan dengan betul apatah lagi hotel ini berhampiran dengan jalan utama,” katanya.
Katanya, suasana persekitaran hotel perlu ditambah baik supaya tidak suram, sekali gus menarik orang ramai menginap.
Sharifah Rohaizah berkata, banyak lokasi pelancongan dan pelbagai program dianjurkan saban tahun di daerah ini sudah pasti hotel menjadi tumpuan penginapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




