BAITULMUQADDIS: Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dan Ketua Pembangkang, Yair Lapid mengumumkan akan bertanding di bawah satu gabungan pada pilihan raya tahun ini, dalam usaha menyingkirkan penyandang, Benjamin Netanyahu.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan malam ini, bersama rakan saya Yair Lapid, kami mengambil langkah paling Zionis dan patriotik yang pernah kami lakukan untuk negara.
“Malam ini, kami bersatu dan menubuhkan parti Beyahad (Bersama) di bawah kepimpinan saya, sebuah parti yang akan membawa kemenangan besar dan membuka era baharu untuk negara kita yang indah,” kata Bennett dalam kenyataan bersama yang disiarkan di televisyen.
Dalam kenyataan sama, Lapid berkata, Bennett adalah ahli politik berhaluan kanan, tetapi seorang yang jujur dan terdapat kepercayaan antara mereka.
Terdahulu pada Ahad, Lapid yang juga bekas perdana menteri berkata, beliau akan berganding tenaga dengan Bennett.
“Langkah ini membawa kepada penyatuan Blok Pemulihan, membolehkan semua usaha difokuskan ke arah memimpin Israel ke arah pembaikan yang diperlukan,” tulisnya di platform X.
Bennett berkata, jika dipilih, beliau akan menubuhkan suruhanjaya siasatan nasional bagi menyiasat kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, sesuatu yang ditolak oleh pentadbiran Netanyahu ketika ini.
Bennett dan Lapid merupakan pengkritik lantang terhadap cara Netanyahu mengendalikan peperangan negara itu sejak serangan berkenaan, malah Lapid menyifatkan gencatan senjata dua minggu dengan Iran baru-baru ini sebagai ‘bencana politik’.
Bennett yang berhaluan kanan dan lama menyokong penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, sebelum ini pernah membentuk pentadbiran gabungan bersama Lapid pada Jun 2021.
Ia digantikan pada penghujung 2022 oleh pentadbiran semasa pimpinan Netanyahu, selepas Bennett pada Jun tahun tersebut menyatakan gabungannya tidak lagi dapat dipertahankan, manakala Lapid berkhidmat seketika sebagai perdana menteri sementara.
Tinjauan pendapat menunjukkan Bennett adalah calon paling berpotensi untuk menewaskan Netanyahu dalam undian Oktober.
Pada Ahad, Bennett turut menggesa bekas menteri Gadi Eisenkot, pemimpin parti Yashar, untuk menyertai gabungan tersebut.
Bennett, 54, anak kepada imigran Amerika dan bekas usahawan teknologi tinggi, menjual syarikat pemulaannya pada 2005 dengan nilai AS$145 juta (RM573.21 juta).
Sebagai bekas pegawai komando Israel, beliau mempunyai profil yang menarik perhatian sebahagian generasi muda negara itu selepas lebih dua tahun perang di Gaza.
Pernah menjadi penasihat kepada Netanyahu, Bennett kini menjadi penentang tegar dasar bekas mentornya itu.
Beliau pernah mengetuai beberapa parti berhaluan kanan sebelum membentuk kerajaan perpaduan luas pada 2021.
Rakan gandingannya, Lapid, 62, ialah anak kepada mendiang wartawan dan menteri Tommy Lapid, seorang mangsa Holocaust, serta penulis terkenal Shulamit Lapid.
Seorang wartawan televisyen terkemuka, Lapid memasuki politik pada 2012 dengan menubuhkan parti Yesh Atid, yang kemudian menjadi kuasa politik kedua terbesar di negara itu.
Sejak itu, beliau berkhidmat sebagai ketua pembangkang selain pernah menjadi perdana menteri untuk tempoh singkat.
Netanyahu dijangka mengetuai senarai partinya dalam pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya hujung Oktober.
Pada usia 76 tahun, pemimpin parti Likud itu merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, dengan lebih 18 tahun memegang jawatan secara kumulatif dalam beberapa penggal.-AFP



