BINTANG Muay Thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tampil dengan pendekatan lebih matang menjelang pertarungan menentang wakil tuan rumah, Shimon Yoshinori di pentas ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo pada Rabu (1.30 petang waktu Malaysia).
Beraksi buat kali pertama di Jepun, Johan dilihat mengurangkan elemen provokasi yang sering menjadi identitinya sebelum ini, sebaliknya memilih pendekatan lebih profesional sebagai menghormati budaya tempatan.
“Setiap pertarungan ada suasana berbeza. Di Jepun, saya perlu hormat dan bawa diri dengan cara yang sesuai,” kata petarung berusia 19 tahun itu.
Di sebalik pendekatan lebih terkawal itu, Johan atau lebih mesra disapa Jojo tetap membawa keyakinan tinggi, terutama selepas beberapa persembahan meyakinkan dalam ONE Championship yang menyaksikannya muncul antara prospek paling mencuri perhatian dalam divisyen flyweight Muay Thai.
Rekodnya yang kebal daripada kekalahan knockout (KO) setakat ini turut mengukuhkan reputasi sebagai antara petarung muda paling sukar dijatuhkan, dengan kekalahan sebelum ini hanya berlaku menerusi keputusan juri.
Menurut Johan, status lawan sebagai pilihan tidak memberi kesan kerana segala-galanya akan ditentukan di dalam gelanggang.
“Apa yang penting adalah apa yang berlaku ketika bertarung. Saya sudah buat persiapan terbaik dan bersedia sepenuhnya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui Yoshinori merupakan antara lawan paling sukar pernah dihadapi, sekali gus menjadikan aksi di Tokyo sebagai ujian sebenar tahap kemampuannya.
Kemenangan dalam pertarungan kali ini dilihat mampu melonjakkan Johan ke kelompok lima terbaik divisyen berkenaan, sekali gus menghampirkan dirinya kepada peluang merebut kejuaraan dunia ONE Championship.
Johan kali terakhir beraksi pada Februari lalu apabila menewaskan wakil Myanmar, Ye Yint Naung menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Sepanjang 11 penampilan di ONE Championship, Johan mencatat lapan kemenangan termasuk lima KO dan satu technical knockout (TKO), selain tiga kekalahan.
Sementara itu, Yoshinari, 21, bukan lawan mudah dengan rekod profesional 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan dalam karier muay thai.
Dalam ONE Championship, beliau meraih empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua keputusan sebulat suara dan dua kemenangan TKO.



