James Chai dijangka hadir esok ke SPRM

James Chai dijangka hadir esok ke SPRM

PETALING JAYA: Bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu Chai Jin Shern atau James Chai dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk direkod keterangan, esok.

Kehadiran James bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK).

Menurut sumber, lelaki itu dijangka hadir kira-kira pukul 10 pagi.

“Keterangan dia (James Chai) akan diambil untuk membantu siasatan kes,” katanya di sini hari ini.

1 April lalu, SPRM dilaporkan berkata, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai pada 4 Mac sebelum menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

Berikutan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.

Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah merekod keterangan sermak 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – UTUSAN

Scroll to Top