am@hmetro.com.my
Seremban: Empat jawatan EXCO kerajaan Negeri Sembilan yang kini disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) dianggap kosong selepas kesemua wakil rakyat terbabit menarik sokongan kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berikutan sudah berlaku empat kekosongan jawatan itu, pengisiannya akan ditentukan kemudian.
“Yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri adalah mereka (UMNO/BN). Maka ada kekosongan (EXCO).
“Kita akan buat keputusan kemudian. Buat masa ini saya belum ada keputusan. Tadi dalam perbincangan (dengan pemimpin PH negeri) pun kita tak ada keputusan lagi,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, petang tadi.
Empat ADUN UMNO/BN yang memegang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri ialah ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang diberi taraf EXCO kanan; ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim; ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Aminuddin berkata, penentuan sama ada jawatan itu akan dipangku oleh ADUN lain akan diputuskan kemudian.
Sementara itu, beliau mengakui terkejut dengan tindakan semua ADUN UMNO terbabit menarik sokongan terhadapnya.
Sementara itu, Pengerusi AMANAH negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, menyatakan sokongan kepada Aminuddin untuk terus menerajui kepemimpinan kerajaan negeri.
“AMANAH Negeri Sembilan ingin menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Pakatan.
“Apa yang berlaku pada hari ini sebenarnya memeranjatkan. Kita masuk lapangan ini bersama dengan tagline menang bersama,” katanya yang memaklumkan AMANAH rela melepaskan kerusi DUN Lenggeng kepada UMNO/BN pada PRN yang lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



