Kolum Tepuk Tepi (spo-ars6)
Oleh Manan Samad
sukan@hmetro.com.my
H: Tagih hadiah hari jadi ‘belated’ daripada Senah
Pada Ahad lalu, 19 April 2026, saya menyambut ulang tahun kelahiran yang sekian kalinya.
Pagi hari itu bermula indah apabila saya dan tiga rakan memenangi satu kejohanan golf jemputan yang langsung tidak disangka-sangka.
Pada malam hari, isteri pula bermurah hati belanja makan malam di restoran milik seorang cef selebriti terkemuka. Melengkapkan hari istimewa, anak yang masih bersekolah sanggup menggunakan sebahagian duit rayanya untuk membeli hadiah buat si ayah.
Selepas habis menikmati juadah makanan barat, kami pulang ke rumah kerana saya ada ‘date’ dengan teman wanita bernama Senah tepat jam 11.30 malam.
Isteri cukup memahami kerana dia tahu saya sudah jatuh cinta dengan Senah sejak 1995 lagi. Setiap kali ada date dengan Senah, dia akan memberi laluan kerana tidak mahu mengganggu mood sang suami.
Senah sebenarnya bukan seorang wanita, tapi kod yang saya gunakan kepada isteri untuk merujuk kepada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Jika 19 hari bulan amat sempurna, awal pagi 20 hari bulan pula bermula suram. Selepas berjuang hebat di Stadium Etihad, Arsenal akhirnya akur dengan ketajaman penyudah Manchester City dan pulang dengan kekalahan 1-2 dalam perlawanan yang sangat penting untuk menentukan kejuaraan EPL musim ini.
Beberapa hari kemudian, City menewaskan kelab corot, Burnley 1-0 untuk membolehkan mereka memintas Arsenal dengan kelebihan jaringan selepas terikat 37 jurang gol dalam 33 perlawanan.
Namun Arsenal tidak mudah putus asa dan kembali bangkit memintas City selepas menewaskan Newcastle United 1-0 di laman sendiri awal pagi semalam, walaupun beraksi lebih satu perlawanan.
Seperti video tular yang menunjukkan tonggak tengah Arsenal, Daclan Rice berkata “it’s not done yet” (segalanya belum berakhir), begitu juga semangat Rice dan rakan sepasukan dalam usaha memburu gelaran EPL buat kali pertama sejak musim 2003/04.
Selain berentap hebat dengan City di EPL, anak buah Mikel Arteta juga akan bertandang ke Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Khamis ini.
Terdahulu, Arsenal terlepas dua trofi apabila tewas kepada City pada final Piala Liga dan dikejutkan kelab divisyen satu, Southampton di peringkat suku akhir Piala FA.
Sebagai peminat, saya sendiri tidak yakin Arsenal mampu merangkul quadruple (empat piala semusim). Bukan kerana skuad tidak kuat, tapi lebih kepada pasukan itu di peringkat akhir pembinaan. Pemain yang ada sekarang tiada pengalaman dan ketenangan untuk membolot quadruple.
Secara realistiknya satu trofi terutama UCL sudah memadai kerana piala itu tidak pernah dimenangi Arsenal. Jika gagal, gelaran EPL tetap boleh mengubat hati dan hadiah hari jadi ‘belated’ bermakna buat saya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




