Trump rancang serangan? ‘Perang spekulasi’ landa media sosial

Trump rancang serangan? ‘Perang spekulasi’ landa media sosial

WASHINGTON –  Insiden tembakan di sebuah majlis gala Rumah Putih bersama petugas media di Hotel Washington Hilton pada malam Sabtu lalu sekali lagi mencetuskan gelombang teori konspirasi yang membanjiri media sosial.

Golongan pempengaruh antara pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan spekulasi demi meraih perhatian warganet.

Lambakan maklumat palsu dan khabar angin sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membelenggu pelbagai insiden berita tergempar termasuk dua cubaan pembunuhan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan kempen pencerobohan ke atas Venezuela yang membawa kepada penahanan bekas Presiden, Nicolás Maduro pada Januari lalu.

Kali ini, pengguna daripada pelbagai spektrum politik turut terlibat menyemarakkan kekecohan pada acara makan malam tersebut di platform seperti X, Facebook dan TikTok.

Sebahagian pengguna mendakwa serangan itu hanya ‘lakonan’ dan merupakan sebahagian daripada rancangan Trump atau pihak lain untuk mengalih perhatian orang ramai susulan kemerosotan sokongan ke atas pemimpin Republikan tersebut disebabkan perang ganas yang dilancarkan ke atas Iran yang telah memberi impak besar kepada sistem dunia.

Insiden tembakan di Hotel Washington Hilton pada malam Sabtu lalu sekali lagi mencetuskan gelombang teori konspirasi yang membanjiri media sosial - Foto: Agensi

Insiden tembakan di Hotel Washington Hilton pada malam Sabtu lalu sekali lagi mencetuskan gelombang teori konspirasi yang membanjiri media sosial – Foto: Agensi

Menurut data syarikat analitik media sosial TweetBinder milik Audiense, istilah ‘dirancang’ pula melonjak kepada lebih 300,000 hantaran di X menjelang tengah hari pada Ahad.

Namun, sebahagian hantaran tersebut menolak dakwaan bahawa serangan itu telah diatur sejak dari awal untuk menaikkan semula populariti Trump.

Pengguna lain pula pantas menuding jari dengan mengaitkan penembak itu dengan Israel selain menggunakan imej yang dipercayai dimanipulasi tekonologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong dakwaan mereka.

Saluran berita RT milik Rusia turut menyokong beberapa dakwaan tersebut di platform X. Keadaan itu mencetuskan ‘perang terbuka’ di alam maya dalam perebutan untuk menegakkan kebenaran.

Banyak akaun berpengaruh berpendapat insiden itu dirancang, dengan naratif yang seakan-akan mengulangi ‘skrip’ sama seperti dua cubaan membunuh Trump sebelum ini yang menggemparkan seluruh dunia.

“Orang ramai membentuk semula realiti berdasarkan apa yang mereka mahu percayai atau anggap benar.

“Mereka tidak mencari fakta yang tepat, sebaliknya cenderung mencari maklumat yang mengesahkan kepercayaan sedia ada, malah sering tenggelam dalam pelbagai teori dan analisis terperinci seperti perbandingan imej,” kata Profesor Cliff Lampe yang merupakan Penolong Dekan Hal Ehwal Akademik di Fakulti Maklumat University of Michigan.

Pada masa yang sama, Trump didakwa lebih aktif dalam ruang dalam talian berbanding pemimpin terdahulu sebagai usaha menggerakkan penyokongnya untuk memuat naik hantaran mengenai sesuatu peristiwa kontroversi, sekali gus menyemarakkan lagi pemikiran berbentuk konspirasi.

Khabar angin tersebar

Selepas insiden terbaharu berkenaan, Presiden ke-47 AS itu mengambil peluang untuk meraih sokongan terhadap usahanya untuk membina sebuah dewan mewah (ball room) melalui projek mega pengubahsuaian Rumah Putih yang menelan kos kira-kira AS$400 juta (RM1.6 bilion).

Ratusan pempengaruh sayap kanan kemudiannya menyebarkan mesej tersebut dengan berkongsi hantaran yang mendakwa rancangan itu merupakan agenda penting dan mendesak bagi memperkukuh aspek keselamatan kediaman rasmi Presiden AS.

Antara hantaran paling banyak dikongsi pada akhir minggu lalu ialah dakwaan bahawa penyerang telah ditembak mati di tempat kejadian sedangkan dia sebenarnya telah ditahan selain pelbagai spekulasi mengenai motif dan hubungan politiknya.

“Gosip dan khabar angin tersebar dengan sangat pantas manakala untuk membetulkan kesilapan itu pula memerlukan masa yang agak lama,” kata Lampe.

Pempengaruh juga mempunyai kepentingan untuk menyebarkan spekulasi dan khabar angin walaupun tidak semestinya mempercayainya kerana perhatian yang diraih boleh meningkatkan jumlah pengikut selain menjana pendapatan lebih besar seperti di platform perkongsian hasil seperti X. – Agensi

Scroll to Top