Pesara guru, guru rugi lebih RM1. 4 juta akibat 'phone scam'

Pesara guru, guru rugi lebih RM1. 4 juta akibat 'phone scam'

am@hnetro.com.my

Kuantan: Dua wanita, masing-masing pesara guru dan guru di daerah ini dan Raub kerugian lebih RM1. 4 juta selepas menjadi mangsa kes penipuan panggilan telefon `phone scam’ yang menyamar polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, dua mangsa berusia 60 dan 42 tahun itu, masing-masing kerugian RM1.01 juta dan RM431,000.

Katanya, kes pertama membabitkan pesara guru menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat jualan dalam talian sebelum talian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 6 September 2024.

“Mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta penjualan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada penjenayah.

“Bagi memperdayakan mangsa, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis melalui panggilan telefon serta merakam suara mangsa sebagai kononnya pengakuan.

“Mangsa kemudiannya diugut dengan dua pilihan sama ada ditangkap dan direman atau menyerahkan semua harta miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, akibat ketakutan, mangsa membuat 122 transaksi pemindahan wang kepada beberapa akaun bank sepanjang tempoh dari 6 September 2024 hingga 5 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM1,014,000.

Katanya, mangsa juga diarah untuk melapor diri sebanyak enam kali setiap hari iaitu setiap tiga jam serta dilarang sama sekali memaklumkan perkara itu kepada mana-mana pihak.

“Kerugian itu membabitkan wang simpanan, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil penjualan rumah, wang persaraan, pinjaman peribadi, gadaian barang kemas serta pelaburan dan simpanan lain milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan seorang guru di Raub yang menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans sebelum talian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 2 Februari lalu.

Katanya, mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam kes tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 di samping pengubahan wang haram serta rasuah.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk mengisytiharkan akaun bank serta menukar nombor telefon bagi tujuan perbankan internet sebelum membuat beberapa transaksi pemindahan wang kepada akaun bank di bawah kawalan suspek kononnya bagi tujuan pengurusan kes dan bayaran jaminan mahkamah.

“Akibatnya, mangsa mengalami kerugian RM431,000 membabitkan wang simpanan peribadi, pinjaman serta pajakan barang kemas. Dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top