Marquez kembali yakin dengan jentera Ducati

Marquez kembali yakin dengan jentera Ducati

Jerez: Pelumba Ducati, Marc Marquez menggunakan sesi ujian semalam untuk mencuba perkembangan aerodinamik dan casis baharu pada jentera Ducati miliknya ketika dia kini berdepan defisit 44 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi.

Juara bertahan itu menamatkan sesi ujian di Jerez sebagai pelumba Ducati paling laju di belakang tiga pelumba Aprilia, malah sempat mencatat masa terpantas seketika dengan 1 minit 36.277 saat (s) pada sesi petang.

Marquez yang terbabas dalam perlumbaan MotoGP Sepanyol pada Ahad lalu, melakukan keseluruhan 68 pusingan.

“Saya mula rasa lebih yakin dengan bahagian depan jentera, terutama di selekoh kiri yang biasanya menjadi kekuatan saya, tetapi sebelum ini saya bergelut di situ dalam beberapa perlumbaan awal.

“Selepas itu di selekoh kanan juga kami sedikit bertambah baik. Jadi secara keseluruhan, kami berjaya menambah baik kelemahan,” kata Marquez.

Sementara itu, ketua pasukan Ducati, Davide Tardozzi berkata, Marquez dan rakan sepasukan, Francesco Bagnaia kini berdepan cabaran berbeza dengan jentera GP26.

“Kami banyak mengkaji bahagian aerodinamik kerana ia nampaknya salah satu aspek yang boleh ditambah baik.

“Marc gembira dengan perkembagan baharu jentera, tetapi Bagnaia masih ada beberapa perkara yang belum memuaskan hatinya.

“Kedua-duanya mahu memperbaiki bahagian yang berbeza,” kata Tardozzi kepada laman rasmi MotoGP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top