DAP menegaskan komitmen mereka untuk kekal setia dalam kerjasama politik tanpa mengambil pendekatan ‘curi langkah’ dalam pembentukan kerajaan.
DAP ada rekod jelas sejak zaman PR
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan parti itu mempunyai rekod jelas sejak era Pakatan Rakyat lagi dalam memastikan setiap keputusan dibuat secara bersama demi kestabilan politik.
“DAP mempunyai rekod yang jelas sejak zaman Pakatan Rakyat lagi. Kita setia dan tidak mengambil langkah curi. Setiap tindakan dibincangkan bersama dalam gabungan.
“Malah, kita juga bersedia memberi laluan kepada parti yang mempunyai kerusi lebih sedikit untuk memimpin, demi memastikan kestabilan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas krisis politik di Negeri Sembilan susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Menurutnya, situasi politik semasa menjelang PRU16 memerlukan semua pihak bijak mengurus cabaran selain mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran.
“Apa pun, kita harus ingat bahawa kita sedang diperhatikan dan kemampuan mengurus situasi semasa amat penting,” katanya.

PM Anwar berjaya pulihkan kestabilan politik
Abdul Aziz turut mengimbas peristiwa Langkah Sheraton 2020 yang memberi kesan besar kepada politik negara dan menyifatkan usaha pemulihan yang dilakukan Perdana Menteri sebagai sesuatu yang mencabar.
“Apa yang berlaku selepas itu sangat jelas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya memulihkan keadaan dalam tempoh empat tahun. Ia bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya lagi.
Perak kekal stabil & tak terjejas
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan situasi di Perak kekal stabil dan tidak terjejas dengan krisis di Negeri Sembilan.
“Dalam keadaan sekarang, saya yakin DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan kestabilan. Lagipun PRU16 sudah hampir dan boleh berlaku pada bila-bila masa,” tambahnya.

Sumber: Sinar Harian (Normawati Adnan)




