IOI Properties lancar taman komuniti 2.75 ekar, perkukuh pelan induk hijau di Salak Tinggi

IOI Properties lancar taman komuniti 2.75 ekar, perkukuh pelan induk hijau di Salak Tinggi

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) melancarkan Central Park @ Senna Puteri seluas 2.75 ekar di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 25 April lalu, sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan pelan induk hijau dalam pembangunan bandar bersepadu tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan – Pembangunan Hartanah (Malaysia), Teh Chin Guan berkata, pembukaan taman itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan ruang rekreasi inklusif dan berteraskan komuniti.

“Ini merupakan fasa pertama Central Park @ Senna Puteri yang direka sebagai nadi komuniti, selari dengan visi kami untuk menyediakan persekitaran yang selamat, tenang dan inklusif.

“Pembukaan rasmi ini hanyalah permulaan. Kami akan terus memperluas taman ini secara berperingkat sebagai sebahagian daripada pelan induk Senna Puteri, termasuk penambahan lebih banyak kawasan hijau pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan itu juga akan menyokong kemasukan penghuni projek perumahan pertama, Aurelia, yang dijangka pada suku kedua tahun 2027.

Sementara itu, Pengurus Besar 16 Sierra, Warisan Puteri dan Senna Puteri, Calvin Sew berkata, pembangunan tersebut memberi fokus kepada keseimbangan antara kemudahan bandar dan alam semula jadi.

“Di Senna Puteri, kami mentransformasikan ruang fungsional kepada kawasan rekreasi yang indah bagi mewujudkan perbandaran yang mana alam semula jadi dan kemudahan bandar dapat wujud secara harmoni.

“Setiap pembangunan yang dirancang mengambil kira landskap unik kawasan ini agar terus dipelihara dan dipertingkatkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, IOIPG turut mencatat kadar pengambilan 100 peratus bagi projek komersial pertama, Senna ExChange yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM119 juta.

Central Park @ Senna Puteri dibangunkan sebagai kawasan hijau komuniti lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk gelanggang sukan, gimnasium luar, amfiteater dan kawasan permainan kanak-kanak, selain dilengkapi lampu tenaga solar serta sistem keselamatan.

Dari kiri: Ahli Majlis dan Pengerusi JPP Zon Kota Warisan, Victor Chong Voon Fei, Chin Guan, Ani dan Pengarah Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah IOIPG, Ho Kwok Wing serta Calvin.

Dari kiri: Ahli Majlis dan Pengerusi JPP Zon Kota Warisan, Victor Chong Voon Fei, Chin Guan, Ani dan Pengarah Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah IOIPG, Ho Kwok Wing serta Calvin.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr Ani Ahmad yang menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama strategik bersama IOIPG.

“Sebenarnya, kerjasama erat antara Majlis Perbandaran Sepang dan IOI Properties Group telah terjalin sejak tahun 2015 dan kini menjangkau lebih 10 tahun.

“Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat serta menjadi pusat tumpuan aktiviti masyarakat yang menyumbang kepada kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau turut menambah, pembangunan taman hijau berkenaan menyokong agenda kelestarian melalui peningkatan kawasan hijau yang berfungsi sebagai ‘carbon sink’ semula jadi, sekali gus membantu meningkatkan kualiti udara dan mengurangkan kesan pulau haba bandar.

Dalam jangka panjang, Central Park @ Senna Puteri dijangka berkembang sebagai ikon landskap di Sepang serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan.

Senna Puteri dibangunkan di atas kawasan seluas 117 ekar dengan pelan induk bernilai GDV RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun, merangkumi pembangunan kediaman dan komersial.

Lokasinya yang strategik berhampiran stesen Express Rail Link (ERL) Salak Tinggi serta rangkaian lebuh raya utama menjadikannya antara lokasi berpotensi tinggi untuk kediaman dan pelaburan.

Scroll to Top