COLOMBO: Seramai 22 orang sami warga Sri Lanka yang baru pulang dari Thailand ditahan di lapangan terbang antarabangsa utama negara itu selepas dikesan membawa 110 kilogram (kg) ganja gred tinggi.
Jurucakap Kastam Sri Lanka memaklumkan kumpulan sami tersebut yang pulang kelmarin selepas bercuti selama empat hari di Bangkok, menyembunyikan dadah jenis ‘Kush’ di dalam bagasi mereka.
“Setiap daripada mereka membawa kira-kira 5kg bahan terlarang itu yang disembunyikan di dalam ruangan khas di sebalik penghadang palsu beg masing-masing. Kesemua suspek diserahkan kepada pihak polis,” jelas jurucakap berkenaan.
Difahamkan, sami-sami tersebut sebahagian besarnya merupakan pelajar muda dari pelbagai kuil di seluruh Sri Lanka dan percutian mereka ke Thailand ditaja oleh seorang ahli perniagaan.
Pihak berkuasa membawa kesemua suspek ke hadapan majistret lewat petang semalam untuk tindakan lanjut.
Pegawai kastam menyifatkan rampasan ini sebagai pengesanan tunggal terbesar melibatkan dadah jenis ‘Kush’ di lapangan terbang berkenaan.
Sebelum ini, seorang wanita warga Britain berusia 21 tahun pernah ditahan pada Mei 2025 di lokasi yang sama kerana membawa 46kg dadah yang juga diterbangkan dari Bangkok.
Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa Sri Lanka giat mempertingkatkan kawalan selepas beberapa siri rampasan besar melibatkan heroin dan narkotik lain yang cuba diseludup masuk melalui bot-bot nelayan kecil. -AGENSI



