Lelaki disyaki miliki M16 dipercayai melarikan diri ke Thailand

Lelaki disyaki miliki M16 dipercayai melarikan diri ke Thailand

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang dikaitkan dengan pemilikan lima laras senapang termasuk raifal jenis M16 ketika serbuan di Gua Musang, 20 April lalu, sudah melarikan diri ke Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, raifal M16 itu sudah dihantar ke unit forensik untuk siasatan lanjut.

“Kita hantar ke unit forensik untuk mengenal pasti nombor sirinya sama ada milik tentera atau polis dan proses ini mengambil masa.

“Lelaki yang menyimpan senjata berkenaan kini dipercayai sudah melarikan diri ke Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang wanita oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Miah, Gua Musang membawa kepada rampasan lima laras senjata api termasuk M16 pada 20 April lalu.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata, suspek ditahan menerusi Op Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 pada jam 6.45 petang.

Katanya, wanita itu turut mendakwa kesemua senjata berkenaan milik suaminya dan dia tidak mengetahui sebarang maklumat berkaitan peralatan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top