PETALING JAYA – “Pada mulanya saya ingatkan mesej daripada scammer.”
Demikian kata Jamal Zaman Kaus, 49, yang muncul pemenang hadiah utama kempen ‘Belanja dan Menang’ anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
Beliau membawa pulang sebuah Perodua Alza 1.5H bernilai hampir RM70,000 menerusi kempen yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025 itu.
Jamal berkata, beliau pada awalnya tidak mempercayai mesej WhatsApp yang diterima sebelum membuat panggilan pengesahan kepada pihak PLUS.
“Saya hanya membalas WhatsApp itu selepas membuat panggilan pengesahan. Memang saya sangat terkejut kerana sebelum ini peraduan yang saya sertai hanya menawarkan hadiah sekitar RM500 hingga RM1,000 sahaja.
“Kali ini saya mendapat hadiah paling besar iaitu sebuah kereta. Saya memang tidak berharap sangat memandangkan ramai peserta lain yang turut serta,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir Mohd Hadzmir Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ir Ts Husain Osman dan Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran.
Jamal menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki luar jangka buat keluarganya dan merancang menggunakan kenderaan baharu berkenaan untuk membawa isteri serta anak-anak bercuti ke Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Sementara itu, Nik Airina ketika berucap berkata, kempen berkenaan selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi digital menjelang 2030 seperti digariskan dalam Blueprint MyDIGITAL.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, PLUS merekodkan peningkatan melebihi 22 peratus penggunaan pembayaran tanpa tunai di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah Lebuhraya Utara-Selatan, disokong penyertaan lebih 500 rakan niaga.
“Sehingga kini, sebanyak 98 peratus R&R dan hentian sebelah di Lebuhraya PLUS telah melaksanakan pembayaran tanpa tunai,” ujarnya.
Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor pula berkata, kerjasama dengan PLUS sejak 2022 membantu mempercepatkan pendigitalan peniaga melalui penggunaan MyDebit dan peluasan kepada DuitNow QR sepenuhnya pada 2025.
Kempen itu merekodkan lebih 30,000 resit penyertaan dengan syarat perbelanjaan minimum RM30 sehari menggunakan MyDebit atau DuitNow QR di mana-mana R&R dan hentian sebelah Lebuhraya PLUS.
Secara keseluruhan, kempen berkenaan menawarkan hadiah bernilai lebih RM200,000, termasuk baucar petrol RM5,000 kepada 10 pemenang tempat kedua, tiga unit telefon pintar Samsung Galaxy Z Flip 7 bagi pemenang tempat ketiga serta Samsung Galaxy Tab sebagai hadiah saguhati.



