Ribut: 582 pelajar MRSM Pendang dibenarkan pulang, jalani PdPR

Ribut: 582 pelajar MRSM Pendang dibenarkan pulang, jalani PdPR

am@hmetro.com.my

Pendang: Seramai 582 pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dibenarkan pulang hari ini susulan kejadian ribut yang melanda, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA Shahrizal Mohd Saderi berkata, kesemua pelajar terbabit akan menjalani sesi Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok Khamis setakat ini.

Beliau berkata, semua pelajar dijangka akan kembali ke asrama pada Ahad.

“Kejadian ribut yang berlaku petang semalam turut menyebabkan beberapa struktur bangunan antaranya bumbung diterbangkan, tetapi apa yang penting tiada pelajar yang tercedera dalam kejadian ini.

“Keadaan sekarang terkawal dan kerja-kerja untuk menilai kerosakan yang berlaku sedang dibuat, ” katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan di MRSM Pendang, hari ini.

Dalam pada itu katanya, peruntukan khas akan diberikan dan pihaknya mengenal pasti kontraktor yang berupaya untuk menjalankan kerja pembaikan dengan segera.

Shahrizal berkata, pihaknya sedang mendapatkan kelulusan bagi peruntukan darurat yang dianggarkan membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta dan sebaik sahaja bajet diterima, semua kerja pembaikan akan dimulakan.

Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook miliknya memaklumkan, blok pentadbiran MRSM Pendang mengalami rosak teruk akibat kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda petang semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top