MADRID: Kejutan besar mewarnai pusingan keempat Terbuka Madrid apabila juara Terbuka Australia, Elena Rybakina tumbang kepada pemain bukan pilihan, Anastasia Potapova, semalam.
Pemain No.2 dunia itu tewas 7-6 (10/8), 6-4 kepada Potapova yang kini berada di ranking ke-56 dunia dalam satu perlawanan yang sarat tekanan.
Aksi set pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pemain saling memecah servis sebelum Potapova lebih tenang menguasai tie-break.
Rybakina cuba bangkit dalam set kedua, namun gagal mempertahankan kelebihan selepas dipatahkan pada game kelapan dan ke-10.
“Saya benar-benar gembira, ini perlawanan yang sangat sukar. Saya tidak mampu berkata apa-apa. Pasukan saya telah membantu saya hari ini, mereka ada di sisi saya, terima kasih banyak kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Naomi Osaka 6-7 (1/7), 6-3, 6-2 sekali gus menempah tiket ke suku akhir.
Osaka terlebih dahulu mencuri set pembukaan menerusi tie-break, namun Sabalenka memperkemaskan permainan di dua set berikutnya dengan pukulan agresif dan servis mantap.
Pemenang tiga gelaran musim ini itu bakal berdepan pemain Amerika Syarikat, Hailey Baptiste yang menyingkirkan Belinda Bencic dalam satu lagi aksi tiga set.
Dalam satu lagi kejutan, pemain No.3 dunia, Coco Gauff, tersingkir selepas tewas kepada Linda Noskova 6-4, 1-6, 7-6 (7/5).
Gauff yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan gagal mengekalkan momentum walaupun mendahului dalam tie-break set penentuan.-AGENSI


![Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO] Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO]](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/spo-o-casemiro28_HMfield_image_socialmedia.var_1777389958.jpg)

