Pelakon versatil, Datuk Rosyam Nor tampil bersuara berhubung isu hangat di media sosial berhubung golongan artis dikatakan sombong seperti yang didakwa oleh segelintir netizen.
Rosyam ketika ditemui berpendapat bahawa tidak wajar untuk terus cepat menghukum kerana artis juga manusia biasa yang turut berdepan keletihan dan tekanan kerja.
“Bagi saya tiada artis yang sombong. Saya tak nampak ada artis yang sombong, Semua okay saja.
“Kita tak boleh ‘judge’ artis sombong hanya daripada pertemuan pertama. Mungkin masa itu dia penat, takkan nak tersenyum setiap masa,” katanya.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Pewaris Susuk, di GSC Cinemas, Lalaport pada Selasa.

Dalam masa sama, aktor drama rantaian popular Keluarga Itu ini juga berkata sebagai peminat perlu melihat keadaan dan situasi seseorang artis sebelum membuat andaian tersendiri.
“Kena faham keadaan seseorang artis. Ada masa penat, mungkin ada masalah kewangan atau keluarga jadi nampak kusut.
“Kalau kita tegur, mereka akan layan dengan baik. Macam muka saya ni nampak garang, ada masa saya berjalan wajah berkerut. Takkan itu terus dilabel sombong?,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Rosyam membintangi filem bergenre seram thriller ‘Pewaris Susuk’ yang akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula 30 April 2026.
Mengangkat tema dosa warisan, amalan susuk demi kecantikan dan kuasa serta pengorbanan seorang ibu, filem terbitan Primeworks Studios dan Anomali Media itu turut dibintangi oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Trisha Ooi, Sherie Merlis dan Dayang Fajra.




