Lelaki pikul rangka adik ke bank tuntut baki simpanan

Lelaki pikul rangka adik ke bank tuntut baki simpanan
Lelaki pikul rangka adik ke bank tuntut baki simpanan

Lelaki itu membawa rangka adiknya sejauh tiga kilometer untuk menuntut baki simpanan di sebuah bank. – Agensi

NEW DELHI – Seorang lelaki di India mencetuskan kejutan apabila bertindak menggali semula rangka mayat adiknya sebelum membawanya ke sebuah bank bagi menuntut baki simpanan sebanyak 19,300 rupee (RM805.70).

Dalam kejadian pada 27 April lalu, lelaki dikenali sebagai Jitu Munda dari kampung Dianali di daerah Keonjhar itu berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer di bawah cuaca panas terik sambil memikul rangka adiknya, Kakra Munda yang meninggal dunia dua bulan lalu.

Difahamkan, tindakan luar biasa itu dilakukan selepas pihak bank enggan membenarkan pengeluaran wang tanpa kehadiran pemilik akaun atau dokumen sah waris.

Jitu yang tidak berpendidikan dan tidak memiliki sijil kematian atau dokumen perundangan lain sebelum ini gagal memahami prosedur yang diperlukan dan pulang dengan hampa.

Namun, dalam usaha terdesak, dia kemudian menggali semula kubur adiknya, membungkus rangka tersebut dengan kain dan membawanya ke bank sebagai “bukti” untuk mengeluarkan wang berkenaan.

Kehadiran lelaki itu bersama rangka manusia di premis bank menggemparkan orang ramai dengan ada yang meluahkan rasa simpati, manakala sebahagian lain mengecam tindakan pihak bank yang dianggap tidak berperikemanusiaan.

Penduduk kampung mempersoalkan mengapa pihak bank tidak mengambil pendekatan lebih fleksibel seperti pengesahan melalui ketua kampung atau siasatan lapangan, sebaliknya berpegang ketat kepada prosedur dokumentasi.

Pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera ke lokasi untuk menenangkan keadaan sebelum mengambil alih kes berkenaan.

Menurut polis, perkara tersebut akan ditangani atas dasar kemanusiaan dan pihak bank turut diminta memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Kes itu mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai kesukaran akses kepada sistem kewangan bagi golongan miskin dan kurang berpendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.- Agensi

Scroll to Top