SINGAPURA: Terkenal dengan jolokan ‘Ekor Naga’ (Dragon’s Tail), padang golf Serapong di Kelab Golf Sentosa terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara lapangan paling mencabar dan dihormati di rantau Asia.
Rangkaian lubang yang menguji ketahanan mental dan memerlukan ketepatan mutlak itu menjadi faktor utama mengapa padang ini dinobatkan sebagai Padang Golf Terbaik Asia bagi tahun 2022 hingga 2024.
Terletak di lokasi strategik dengan pemandangan Selat Singapura, Serapong bukan sekadar menawarkan keindahan visual, malah menuntut kemahiran tinggi daripada setiap pemain yang ingin melintasi rangkaian lubang yang mencabar itu tanpa sebarang cacat cela pada kad skor mereka.
Igauan Ekor Naga
Gelaran Ekor Naga merujuk secara spesifik kepada rangkaian Lubang tiga hingga Lubang tujuh.
Laluan yang menguji dan berliku ini memerlukan ketepatan mutlak bagi membolehkan pemain melepasinya dengan selamat.
Antara yang paling menggerunkan adalah lubang lima (par-4) yang memaksa pemain memukul bola melepasi kawasan air ke arah green yang dikawal rapi oleh bunker pasir yang dalam.
Namun, Serapong juga boleh menjadi ‘mimpi ngeri’ buat pemain terbaik dunia.
Salah satu detik yang mencerminkan kesukaran padang ini adalah apabila jaguh dunia, Jordan Spieth bergelut di Lubang 11 dan 12 pada edisi 2016.
Beliau mencatatkan double-bogey dan quadruple-bogey, sekali gus meragut peluangnya untuk menjuarai kejohanan yang akhirnya dimenangi oleh Danny Willett dari England.
Magis Paula Creamer, Adam Scott
Di sebalik cabarannya, padang ini turut menjadi saksi kepada detik paling ikonik dalam sejarah golf dunia.
Antaranya ialah pukulan putt ajaib oleh Paula Creamer yang meluncur jauh melintasi green, menuruni cerun dan terus masuk ke lubang.
Detik penuh emosi itu menyaksikan Creamer berlari keriangan sebelum melutut dan menepuk rumput sebagai tanda kegembiraan yang amat sangat.
Selain itu, jaguh Australia, Adam Scott yang juga pemenang kejohanan Major dan juara tiga kali Terbuka Singapura mempunyai kedudukan istimewa di sini.
Scott, yang digelar sebagai Sorcerer of Sentosa (Ahli Sihir Sentosa) kerana penguasaannya di padang ini, diabadikan melalui plak peringatan di lubang empat (par-5) sebagai menghargai pencapaian luar biasanya di kejohanan yang sering dianggap sebagai ‘Major Asia’ itu.
Nilai sejarah dan kelestarian
Kredit Foto: YEN MENG JIIN, (The Business Times)
Dari segi latar belakang, nama Serapong diambil sempena Gunung Serapong iaitu puncak tertinggi di pulau yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Blakang Mati.
Di lubang 7 (par-5), pemain bukan sahaja diuji dengan kemahiran, malah disajikan dengan pemandangan kubu peninggalan Perang Dunia Kedua.
Di lubang ini, pemain perlu memastikan pukulan pemula (drive) mendarat tepat di fairway yang panjang di pinggir laut sebelum mencuba pukulan kedua ke arah green yang berliku.
Kesilapan kecil dalam anggaran kekuatan boleh menyebabkan bola terjatuh ke dalam selat.
Bagi edisi Terbuka Singapura tahun ini yang ditaja oleh The Business Times, kejohanan itu menawarkan hadiah lumayan keseluruhan berjumlah AS$2 juta (kira-kira RM9.56 juta).
Bagi mengekalkan prestijnya, padang Serapong telah menjalani proses naik taraf besar-besaran pada 2020 melibatkan penambahbaikan pada bunker, kawasan green serta fairway.
Ia turut menerapkan aspek kelestarian melalui penggunaan teknologi pengairan pintar bagi memastikan kualiti rumput sentiasa di tahap terbaik, sekali gus membuktikan Serapong adalah ujian sebenar bagi setiap jaguh dunia.
Artikel ini kali pertama disiarkan di The Business Times dan diterbitkan semula di Berita Harian dengan izin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




