Shopee perkenal inisiatif RM150 juta bantu PMKS kekal berdaya tahan

Shopee perkenal inisiatif RM150 juta bantu PMKS kekal berdaya tahan

SHOPEE, platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan serta antara yang terkemuka di Brazil, melancarkan inisiatif Shopee Lindung Niaga bernilai RM150 juta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani cabaran semasa.

Inisiatif itu merangkumi sokongan terhadap penghantaran, akses modal kerja serta pemenuhan pesanan, sekali gus mencerminkan pendekatan seimbang dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan kepentingan pengguna terus terpelihara.

Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, Shopee Lindung Niaga memberi tumpuan kepada usaha membantu PMKS mengekalkan operasi dalam jangka pendek, di samping memperkukuh keupayaan untuk kekal berdaya saing dalam tempoh panjang.

“Shopee Lindung Niaga direka untuk menyediakan sokongan praktikal pada masa dan tempat yang paling diperlukan, selain kami terus melabur dalam sistem dan alat yang menjadi sandaran perniagaan kecil untuk terus berkembang.

“Pada masa sama, pengguna perlu terus mempunyai akses kepada barangan keperluan secara konsisten dan boleh dipercayai. Kedua-duanya penting bagi memastikan ekosistem yang sihat dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan melalui tiga teras utama iaitu sokongan transaksi, akses pembiayaan dan pengukuhan keupayaan operasi.

Bagi teras pertama, Shopee memperkukuh aktiviti jual beli melalui pengenalan baucar penghantaran percuma tanpa pembelian minimum, sekali gus membantu mengekalkan permintaan serta menyokong penjual meningkatkan kadar penukaran jualan.

Sokongan turut diperluas kepada barangan bersaiz besar dan bernilai tinggi seperti perabot dan peralatan rumah menerusi baucar khusus, bagi mengimbangi kos penghantaran serta memudahkan proses logistik yang lebih kompleks.

Dalam aspek pembiayaan pula, Shopee bekerjasama dengan Monee bagi memperluas akses kepada modal kerja melalui SLoan for Sellers dan Quick Funds.

Melalui SLoan for Sellers, lebih RM5 juta pembiayaan disediakan termasuk subsidi kadar faedah 100 peratus bagi ansuran pertama untuk pengguna baharu, bagi menyokong pengisian semula stok dan peluasan perniagaan.

Quick Funds pula menawarkan diskaun 50 peratus yuran pendahuluan serta percubaan percuma selama 20 hari, sekali gus memberi akses lebih pantas kepada aliran tunai penjual.

Shopee bekerjasama dengan Monee bagi memperluas akses kepada modal kerja melalui SLoan for Sellers dan Quick Funds.

Shopee bekerjasama dengan Monee bagi memperluas akses kepada modal kerja melalui SLoan for Sellers dan Quick Funds.

Shopee turut memperkukuh keupayaan pemenuhan pesanan melalui program Fulfilled by Shopee (FBS) dengan menawarkan percubaan percuma selama enam bulan kepada penjual yang layak.

Langkah itu membolehkan penjual meningkatkan kecekapan operasi serta memberi fokus kepada pertumbuhan perniagaan, khususnya ketika tempoh puncak.

Menurut Shopee, penjual yang menggunakan FBS mencatat peningkatan purata sekitar 20 peratus dalam trafik kedai, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan capaian pelanggan.

Dalam pada itu, beberapa penjual memaklumkan inisiatif berkenaan memberi impak positif kepada operasi mereka.

Pengasas Dashboxx Solutions, Nur Shafiqah Mokhtar berkata, kemudahan SLoan membantu perniagaannya memperoleh modal tambahan dengan cepat.

“Daripada memperlahankan operasi akibat kekangan aliran tunai, kami dapat meningkatkan operasi hampir serta-merta apabila pembiayaan diluluskan dan disalurkan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Sementara itu, pengasas Moo Baby, Stephen Beh berkata, baucar penghantaran percuma membantu meningkatkan kadar pembelian pelanggan.

“Pelanggan lebih cenderung melengkapkan pembelian apabila tidak perlu risau tentang kos penghantaran, khususnya bagi barangan bernilai rendah,” ujarnya.

Selain itu, Shopee turut meneruskan pelaburan dalam alat digital seperti Chat AI Assistant, Product AI Optimiser dan AI Model Try-On bagi membantu penjual meningkatkan kecekapan operasi.

“Perniagaan yang berdaya tahan bukan dibina melalui sokongan jangka pendek semata-mata, tetapi melalui pelaburan berterusan dalam keupayaan, teknologi dan kerjasama untuk jangka panjang,” kata Ho.

Scroll to Top