am@hmetro.com.my
Melaka: Kira-kira 90 peratus daripada 425 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) yang dikeluarkan SWCorp Melaka sejak awal tahun hingga semalam membabitkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.
Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor berkata, notis berkenaan dikeluarkan menerusi 353 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, kesalahan lain ialah membuang sisa plastik, bekas makanan dan botol minuman, dengan kebanyakan notis dikeluarkan di lokasi tumpuan awam terutama kawasan pelancongan.
“Setakat ini sebanyak 27 kes disabitkan di mahkamah, manakala sembilan individu gagal hadir bagi sebutan kes.
“Bagi mereka yang tidak hadir ke mahkamah, waran tangkap telah dikeluarkan dan ini menunjukkan kesalahan berkenaan adalah serius kerana melibatkan proses perundangan,” katanya kepada pemberita selepas Program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Pulau Melaka, hari ini.
Nor Zaki berkata, pelaksanaan PKM pertama di negeri ini membabitkan empat individu berusia antara 23 hingga 40 tahun yang menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
Katanya, tiga daripada mereka diperintahkan mahkamah menjalani hukuman selama 12 jam, manakala seorang lagi selama empat jam.
“Setiap sesi berlangsung selama empat jam dan seorang daripada mereka selesai menjalani keseluruhan tempoh hukuman hari ini.
“Manakala tiga lagi akan meneruskan baki tempoh dalam siri pelaksanaan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




