am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Pulangan diterima negeri ini dilihat masih tidak setimpal dengan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu dilihat tidak selari dengan negeri ini yang juga antara penyumbang utama kepada hasil negara.
Baginda sekali lagi menggesa Kerajaan Persekutuan memulangkan semula sebahagian hasil cukai yang dijana negeri ini sekurang-kurangnya 25 peratus.
“Johor antara penyumbang utama kepada hasil negara, namun pulangan yang diterima masih tidak setimpal dengan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.
“Justeru, saya ingin menggesa kepada Kerajaan Persekutuan bahawa sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai yang dijana oleh Johor, sekurang-kurangnya 25 peratus, dipulangkan semula kepada negeri ini.
“Ini penting agar Johor dapat mengurus keperluan rakyat dengan lebih cekap, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses kelulusan yang panjang,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tunku Ismail bertitah, Johor perlu diberi ruang untuk berdiri dengan lebih berdikari, selaras dengan peranannya sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara, demi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terus terpelihara.
Pada masa sama, Tunku Ismail menzahirkan rasa bangga atas pencapaian negeri ini yang terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
Baginda bertitah, dalam aspek ekonomi, Johor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion, termasuk mencipta sejarah pada 2025 apabila merekodkan RM110 bilion pelaburan yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.
Titahnya, pencapaian itu membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada bukan sahaja rakyat Johor tetapi rakyat Malaysia.
“Hasil negeri juga terus meningkat, mencecah RM2.68 bilion pada 2025, menunjukkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus Kerajaan Negeri dalam mengurus sumber dan hasil dengan baik.
“Pencapaian ini adalah satu petanda bahawa Johor berada di landasan yang tepat.
“Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga serta berharap momentum ini akan terus diperkukuh, agar Johor bukan sahaja terus maju, malah muncul sebagai sebuah negeri contoh yang unggul, berdaya saing dan disegani di peringkat nasional dan serantau,” titahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




