Rakyat perlu bersama selesaikan isu adat Negeri Sembilan

Rakyat perlu bersama selesaikan isu adat Negeri Sembilan

SEREMBAN: Rakyat boleh bersama-sama memainkan peranan dalam menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan yang melanda Negeri Sembilan.

Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi), Muhamad Kamel Yassin berkata, kepentingan perpaduan itu boleh diibaratkan seperti tiga warna pada bendera Negeri Sembilan yang membawa maksud tersendiri.

Menurutnya, warna kuning melambangkan institusi raja, merah mewakili rakyat manakala hitam merujuk kepada Undang.

“Sekiranya rakyat tidak bersama dalam menyelesaikan isu ini, ia seolah-olah mengoyakkan bendera negeri dengan membuang warna merah, sekali gus menunjukkan kita tidak lagi bersatu hati.

“Gabungan ketiga-tiga elemen ini amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan,” katanya ketika ditemui di Istana Hinggap di sini hari ini.

Terdahulu sebanyak lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Istana Hinggap di sini bagi menyerahkan memorandum menjunjung taat setia serta mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar dan Adat Perpatih Negeri Sembilan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Muhamad Kamel kepada Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali. – UTUSAN

Scroll to Top