China tunggu Zii Jia dan rakan-rakan di suku akhir

China tunggu Zii Jia dan rakan-rakan di suku akhir
China tunggu Zii Jia dan rakan-rakan di suku akhir

Malaysia diundi menentang China di suku akhir Piala Thomas. Foto BWF

MALAYSIA bakal berdepan ujian getir apabila diundi menentang gergasi dunia, Chin pada aksi suku akhir Piala Thomas 2026 pada Jumaat, sekali gus menghidupkan pertembungan yang dijangka sengit dan penuh tekanan.

Skuad negara yang mara selaku naib juara Kumpulan B tidak mempunyai banyak ruang untuk melakukan kesilapan apabila bakal berdepan juara bertahan yang terkenal dengan kekuatan menyeluruh di setiap posisi.

Namun, Malaysia hadir dengan keyakinan tersendiri, dipacu prestasi cemerlang Lee Zii Jia yang muncul watak penting dalam kempen peringkat kumpulan.

Pemain perseorangan profesional itu membuktikan ketenangannya ketika berdepan situasi genting apabila menghadiahkan mata kemenangan penentuan ke atas England, sekali gus memastikan Malaysia membuka kempen dengan langkah kanan.

Lebih menarik, Zii Jia terus mempamerkan rentak positif sepanjang aksi kumpulan termasuk ketika berdepan pasukan kuat seperti Jepun, memberikan suntikan moral besar buat kem negara menjelang aksi suku akhir.

Momentum tersebut diharapkan dapat diteruskan ketika menentang China, dengan Zii Jia dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama untuk mencuri mata penting dalam pertembungan berprofil tinggi itu.

Dalam pada itu, kapten pasukan Aaron Chia bersama barisan beregu negara turut memikul tanggungjawab besar untuk memastikan cabaran Malaysia kekal bernyawa dalam misi memburu tempat ke separuh akhir.

Pertembungan yang dijadual berlangsung Jumaat ini pastinya menjadi tumpuan dengan satu persoalan besar menghantui, mampukah Malaysia menumbangkan kuasa besar dunia dan meneruskan kemaraan di Horsens?

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Thailand bakal menentang Denmark, manakala Perancis dijadualkan bertemu Jepun.

Satu lagi aksi suku akhir menemukan India dengan Taiwan.

Scroll to Top