lokman.khairi@hmetro.com.my
Bangi: Masjid dan surau seluruh negara diminta melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatan kesemua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memandang serius perkembangan misi serta keadaan peserta dan akan terus memantau dari semasa ke semasa.
“Kita menyatakan sokongan penuh terhadap misi Global Sumud Flotilla dan telah mengerahkan masjid serta surau untuk mendoakan keselamatan semua peserta termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini masih belum diketahui keberadaan mereka.
“Kita juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan termasuk Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dan rakan strategik lain dalam meneruskan solidariti kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza,” katanya pada sidang media di SNCC di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengenai status keselamatan peserta GSF serta perkembangan misi kemanusiaan itu.
Zulkifli berkata, sokongan kerajaan terhadap misi kemanusiaan itu adalah selari dengan pendirian negara yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga peserta yang terlibat dan bersedia menyalurkan bantuan sewajarnya.
“Kita sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada SNCC dan akan melihat keperluan yang boleh dibantu kepada semua aktivis ini.
“Daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita mempunyai beberapa agensi yang bersedia untuk memberikan sokongan, dan kita akan menilai bentuk bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Hari ini, SNCC memaklumkan nasib 10 rakyat Malaysia antara 175 peserta GSF terputus hubungan masih belum diketahui selepas 38 jam bot dinaiki mereka dipintas.
Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Mereka yang ditahan setakat ini adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).
Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
© New Straits Times Press (M) Bhd




