GWM Tayang Tank 300 HEV di Penang Autoshow

GWM Tayang Tank 300 HEV di Penang Autoshow

GWM Tank 300 HEV kini mula ditayangkan oleh Great Wall Motor Malaysia menerusi beberapa hantaran rasmi, memberi bayangan jelas bahawa pelancarannya di Malaysia hanya menunggu masa. Malah jika anda ada kelapangan, anda boleh melihat sendiri model ini di Penang Autoshow.

Jika sebelum ini model Tank 300 versi petrol sudah mencuri perhatian dengan gaya rugged ala jentera tentera moden, versi HEV ini pula hadir dengan teknologi hibrid dan menggabungkan keupayaan off-road sebenar dengan kecekapan dan keselesaan penggunaan harian.

Tank 300 HEV masih mengekalkan struktur ladder frame yang menjadi tulang belakang kepada kemampuan lasaknya. Ini bukan SUV crossover biasa yang sekadar tampil dengan rupa garang, tetapi sebuah jentera yang dibina untuk menghadapi laluan mencabar.

Tank 300 HEV juga dipasang dengan sistem pacuan empat roda dengan low-range, serta ciri seperti differential lock dan mod pemanduan off-road dikekalkan. Malah, fungsi seperti Tank Turn yang membantu pusingan sempit dalam laluan sukar turut ditawarkan, menjadikan model ini antara yang paling serius dalam kelasnya dari sudut keupayaan off-road.

Apa yang membezakan versi HEV ini berbanding model petrol adalah sistem rangkaian kuasanya. Ia menggabungkan enjin 2.0 liter turbo dengan motor elektrik, dipadankan bersama transmisi automatik hibrid 9-kelajuan.

Sistem HEV ini menjana sekitar 347 PS dan 648 Nm, satu angka yang cukup untuk meletakkannya di hadapan banyak SUV ladder frame lain dalam pasaran. Sistem ini memberikan pecutan yang lebih responsif, terutama pada kelajuan rendah, di mana motor elektrik memberikan tork serta-merta.

Dalam konteks penggunaan harian, trenkuasa HEV menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih efisien. Di dalam bandar, pergerakan pada kelajuan rendah boleh bergantung lebih kepada motor elektrik sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api serta meningkatkan kesenyapan kabin.

Dari segi rekaan, perubahan yang dibawa tidak terlalu drastik, tetapi cukup untuk membezakan identitinya sebagai model hibrid. Sentuhan seperti rekaan rim khas dan pilihan warna eksklusif memberikan sedikit kelainan, manakala bahagian dalaman masih mengekalkan pendekatan moden dengan paparan skrin berkembar serta kemasan premium.

Dalam konteks pasaran Malaysia, kehadiran Tank 300 HEV dijangka memainkan peranan penting dalam strategi Great Wall Motor. Ia berpotensi menjadi model pertengahan dalam barisan model Tank, berada di antara versi petrol yang lebih mampu milik dan model lebih besar seperti GWM Tank 500 HEV yang lebih premium.

Apa yang lebih menarik ialah Tank 300 HEV juga merupakan satu-satunya SUV lasak yang ditawarkan dengan trenkuasa hibrid di dalam pasaran yang masih lagi dipenuhi dengan trenkuasa petrol dan juga turbodiesel.

Jika varian petrol berharga sekitar RM 250,000 kita boleh menjangkakan model HEV ini akan dijual pada harga sekitar RM 260,000 ke RM 270,000. GWM telah mula membuka pendaftaran awal bagi pembeli yang berminat untuk memiliki SUV lasak ini di Penang Autoshow.


Scroll to Top