AS tiada tempat di Teluk Parsi, hanya ‘di dasar laut’-Mojtaba

AS tiada tempat di Teluk Parsi, hanya ‘di dasar laut’-Mojtaba

TEHERAN – Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai tempat di Teluk Parsi, malah menyindir satu-satunya lokasi sesuai untuk negara itu adalah ‘di dasar laut’.

Dalam kenyataan bertulis sempena sambutan Hari Teluk Parsi yang disiarkan televisyen negara, beliau berkata satu ‘bab baharu’ sedang terbentuk di rantau itu, dengan Iran bertekad mengekalkan pengaruhnya.

Mojtaba turut menegaskan, Republik Islam itu akan terus mempertahankan keupayaan nuklear dan peluru berpandunya sebagai aset nasional, sekali gus memberi isyarat tegas ketika Donald Trump berusaha mencapai perjanjian lebih luas susulan gencatan senjata rapuh antara kedua-dua pihak.

Beliau dilaporkan cedera parah dalam serangan pada 28 Februari yang mengorbankan bapanya, Ali Khamenei, dan sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi pada Mac lalu, belum pernah tampil di khalayak umum.

Menurut beberapa sumber, beliau mengalami kecederaan serius pada bahagian muka dan kaki, namun masih menjalankan tugas melalui sidang audio bersama pegawai kanan kerajaan.

Dalam kenyataan itu, Mojtaba menegaskan, masa depan Teluk Parsi akan bebas daripada campur tangan kuasa luar.

“Kami dan negara jiran di Teluk Parsi serta Teluk Oman berkongsi takdir yang sama. Pihak luar yang datang dari ribuan kilometer dengan niat tamak tidak mempunyai tempat di sini — kecuali di dasar laut,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan meningkat susulan sekatan laut AS yang menyasarkan eksport minyak Iran, sekali gus menekan ekonomi negara itu.

Pada masa sama, Iran terus mengawal Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi transit hampir satu perlima perdagangan minyak dan gas dunia.

Harga minyak global turut melonjak, dengan penanda aras Brent mencecah sehingga AS$126 (RM500) setong sebelum susut sedikit, mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap gangguan bekalan.

Mojtaba turut memberi bayangan bahawa Iran akan terus mengekalkan kawalan ke atas laluan tersebut, sambil mendakwa pengurusan baharu Teheran akan meningkatkan keselamatan serantau.

Bagaimanapun, masyarakat antarabangsa melihat Selat Hormuz sebagai laluan perairan antarabangsa yang tidak sepatutnya dikenakan bayaran, manakala beberapa negara Teluk menyifatkan tindakan Iran itu seakan-akan ‘lanun moden’.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa program nuklear dan peluru berpandu Iran tidak akan dijadikan bahan rundingan.

“Rakyat Iran menganggap semua keupayaan negara — daripada teknologi hingga pertahanan sebagai aset nasional yang mesti dipertahankan,” katanya.

Kenyataan keras itu dijangka terus merumitkan usaha diplomatik antara Teheran dan Washington ketika kedua-dua pihak masih buntu dalam rundingan pascakonflik.- Agensi

Scroll to Top