
Polis menjalankan siasatan dan sedang giat mengesan pelaku. Foto janaan AI
DHENKANAL – Seorang wanita menjadi mangsa serangan kejam apabila dirogol dan mukanya ditetak sebelum ditinggalkan dalam keadaan kritikal berhampiran tebing sungai di daerah Dhenkanal, Odisha, India.
Kejadian dilaporkan berlaku pada Isnin lalu ketika mangsa pergi mandi di Sungai Sapua.
Keluarganya mula bimbang selepas wanita itu tidak pulang sebelum melancarkan usaha mencarinya.
Mangsa kemudian ditemui oleh seorang penggembala lembu dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri berhampiran sungai berkenaan.
Menurut laporan, suspek dipercayai merogol mangsa sebelum menyerangnya menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan serius pada bahagian muka.
Suspek kemudian melarikan diri, meninggalkan mangsa dalam keadaan parah.
Penduduk kampung yang tiba di lokasi segera menyelamatkan mangsa dan membawanya ke hospital berhampiran menggunakan troli kerana ketiadaan ambulans.
Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Kolej Perubatan SCB di Cuttack untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal.
Pihak polis telah melancarkan siasatan dan sedang giat mengesan suspek dengan mengumpul bukti di lokasi kejadian serta mengambil keterangan daripada penduduk setempat.
Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menuntut tindakan tegas terhadap pelaku serta langkah lebih berkesan bagi menjamin keselamatan wanita di kawasan berkenaan.- Agensi



