lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harga ayam mentah di ibu negara didapati turun 50 sen setiap kilogram meskipun wujud dakwaan akan berlaku peningkatan harga sekitar 3.3 peratus.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit di sini mendapati, ayam mentah dijual pada harga RM9.50 sekilogram hari ini berbanding RM10 pada minggu lalu.
Peniaga, Husin Mohamad, 49, berkata, penurunan harga itu sudah berlaku sejak kira-kira seminggu lalu.
“Harga ayam hari ini RM9.50 sekilogram dan sudah seminggu turun daripada RM10 sebelum ini.
“Mungkin kurang orang beli sebab berjimat, jadi permintaan berkurang dan pembekal pun turunkan harga,” katanya ketika ditemui di sini, tadi.
Dia yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai peniaga bahan mentah itu berkata, harga ayam ketika ini tidak dikawal kerajaan dan sepenuhnya ditentukan oleh pembekal.
“Sekarang harga tak ada kawalan. Bila pembekal turunkan harga, kita ikut sahaja. Peniaga ambil untung pun sedikit saja, sekitar RM1 sekilogram,” katanya.
Seorang lagi peniaga ayam yang hanya ingin dikenali sebagai Azman, 45, berkata, harga semasa sekitar RM9.50 sekilogram itu sudah berlarutan hampir dua minggu.
“Harga ini sudah lebih kurang 10 hingga 12 hari. Ada juga tempat jual RM10, tapi kebanyakannya RM9.50.
“Kita ikut harga dari ladang. Bila harga dari sana turun, kita pun turunkan untuk pelanggan,” katanya.
Bagaimanapun, Azman tidak menolak kemungkinan harga ayam akan meningkat semula menjelang Hari Raya Aidiladha bergantung kepada bekalan dan permintaan.
“Kalau nak dekat raya korban, biasanya harga akan naik. Itu memang bergantung kepada pembekal dan keadaan pasaran.
“Tapi kita harap kenaikan itu masih terkawal sebab peniaga pun tak boleh sesuka hati naikkan harga,” katanya.
Sementara itu, pelanggan, Nor Aini Hassan, 38, berkata, penurunan harga ayam sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Memang terasa beza walaupun 50 sen saja. Kalau beli banyak untuk keluarga, tetap jimat juga.
“Cuma saya harap harga ini kekal dan tidak naik mendadak bila musim perayaan nanti,” katanya.
Bagi seorang lagi pelanggan, Mohd Faizal Rahman, 42 menyifatkan harga semasa masih berpatutan, namun berharap pemantauan berterusan dilakukan bagi mengelakkan kenaikan tidak munasabah.
“Sekarang harga boleh kata masih terkawal, tapi biasanya bila hampir musim perayaan harga akan naik.
“Kalau boleh, biarlah kenaikan itu tidak terlalu tinggi supaya pengguna tak terbeban,” katanya.
Kelmarin, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) dilaporkan tidak menafikan kemungkinan harga ayam akan meningkat susulan kenaikan harga bahan api diesel.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng bagaimanapun dipetik berkata, setakat ini harga ayam masih kekal pada paras biasa dan tidak terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




