am@hmetro.com.my
Kota Tinggi : ‘Ibu bila balik?’ Pertanyaan jam 6.17 petang yang tiada jawapan itu kemudian membuatkan Mohd Izat Kamilin, 22, terus menghubungi ibu, bapa serta adik bongsunya berkali-kali sebelum diangkat anggota polis dan memaklumkan dua dari tiga ahli keluarganya itu meninggal dunia akibat kemalangan.
Ibu kepada Mohd Izat, Rubeta Mohd, 51, dan adik perempuannya, Nur Isyirah Syakirah, 14, dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.
Dalam kejadian itu, bapanya, Kamilin Alias, 56, yang memandu kereta Proton Persona, dilaporkan parah dan kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Menurut Mohd Izat, sebelum kemalangan, ibu bapa dan adiknya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Saujana di sini, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Mersing.
“Ibu cakap lepas majlis kahwin terus balik, saya fikir dalam jam 4 atau 5 petang mesti dah sampai rumah, tetapi bila saya balik kerja dalam jam 6 petang, saya pelik ibu, ayah dan adik tiada di rumah.
“Itu yang saya tanya mereka bila balik. Bila tiada jawapan, saya mula tak sedap hati dan telefon mereka. Saya call banyak kali, tetapi tiada jawapan.
“Bila hubungi nombor telefon adik, baru ada yang angkat, tetapi rupa-rupanya polis dan beritahu mereka kemalangan.
“Saya tak dapat tahan kesedihan, memang menangis sekuat hati sebelum telefon adik-beradik termasuk kakak yang tinggal di Batu Pahat dan saudara-mara lain beritahu kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, hari ini.
Mohd Izat berkata, dia terkilan kerana mengikut perancangan, dia yang sepatutnya memandu kereta dan membawa keluarganya ke Mersing, bagaimanapun, pada saat akhir, dia perlu bekerja menyebabkan bapanya terpaksa memandu kereta.
“Ayah masih boleh memandu, cuma kalau saya ada, memang sayalah yang akan pandu kereta ke mana-mana. Semalam, saya kena kerja. Ibu pula kata ‘takpelah pergilah kerja’, sedih saya bila jadi perkara macam ini,” katanya.
Sebaik menerima berita sedih itu, Mohd Izat berkata, dia kemudian berkejar ke Unit Perubatan Forensik HKT untuk melihat jenazah ibu dan adiknya, sebelum turut ke HSI untuk melihat keadaan bapanya yang dilaporkan kritikal.
“Pagi ini, ayah menjalani pembedahan di perut. Masa mula-mula semalam ayah masih sedar, tetapi kemudian doktor tidurkan sebab nafas laju. Katanya, paru-paru ayah pun berdarah,” jelasnya.
Jenazah Rubeta dan Nur Isyirah Syakirah yang selesai menjalani bedah siasat kemudian dimandi dan dikafankan di Unit Perubatan Forensik HKT sebelum dibawa ke Masjid Al-Hadi Kampung Makam di sini, untuk disembahyangkan.
Jenazah dua beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini.
Bercerita lanjut, Mohd Izat yang juga anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia difahamkan, kereta dipandu bapanya itu berkonvoi dengan kereta ibu saudaranya ketika pulang dari Mersing.
“Kira-kira jam 4 petang, ibu saudara yang juga adik kepada ibu saya ada menghubungi ibu dan tanya mereka di mana kerana tak nampak kereta.
“Katanya, ibu beritahu berhenti sekejap di Sungai Ara kerana hujan lebat. Selepas dari itu, ibu saudara kata memang dah tak dapat hubungi ibu lagi,” katanya yang kali terakhir berjumpa ketiga-tiga ahli keluarganya itu kira-kira jam 8 pagi sebelum mereka bertolak ke Mersing.
Menurut Mohd Izat, dia hanya perasan perubahan adik bongsunya itu apabila ingin belanja keluarga mereka sejak seminggu yang lalu.
“Adik memang saya nampak dia lain sejak seminggu ini. Tiba-tiba nak belanja air. Kami adik-beradik memang rapat. Kalau selalu kita kacau-kacau adik, dia suka balas, tetapi akhir-akhir ini, bila kacau dia biar sahaja hanya senyum, tidak melawan pun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




