suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai bandar ke-50 terbaik dunia bagi tahun 2026 menunjukkan asas perancangan bandar negara ini berada pada landasan yang betul.
Namun di sebalik pencapaian itu, pelbagai isu seperti kesesakan lalu lintas, banjir kilat, kos perumahan dan gelandangan terus menjadi polemik yang membelenggu kehidupan warga kota.
Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, pelbagai inisiatif sebenarnya sudah dirangka bagi menyokong pertumbuhan pesat bandar raya itu.
Menurutnya, antaranya termasuk pembangunan berorientasikan transit (TOD), pengukuhan sistem pengangkutan awam serta pelan jangka panjang seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.
“Namun, cabaran utama bukan pada perancangan tetapi pada pelaksanaan dan penyelarasan antara agensi.
“Dalam konteks bandar yang berkembang laju, apa yang kita nampak ialah “planning is good on paper, but execution is uneven.” (perancangan nampak baik di atas kertas, tetapi pelaksanaannya tidak sekata),” katanya.
Beliau berkata, jika pelaksanaan dilakukan secara konsisten dan lebih tegas, Kuala Lumpur sebenarnya berupaya menampung pertumbuhan tanpa menjejaskan kualiti hidup penduduk.
“Namun realiti di lapangan menunjukkan jurang antara perancangan dan pelaksanaan semakin ketara,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Azwan berkata, isu seperti trafik, banjir kilat, kos perumahan dan gelandangan mempunyai akar permasalahan yang hampir sama, iaitu berkait rapat dengan perancangan guna tanah yang tidak seimbang.
Katanya, pembangunan yang terlalu tertumpu di kawasan tertentu tanpa sokongan infrastruktur setimpal menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas di ibu negara.
“Dalam masa sama, masyarakat masih gantung kepada kenderaan persendirian walaupun kemudahan pengangkutan awam seperti MRT dan LRT yang sudah disediakan.
“Kemudahan ini menjadi pilihan terakhir dan masih lemah. Ini membuatkan masyarat tetapi memilih untuk memandu ke destinasi dalam Kuala Lumpur.
“Ketiga, sistem saliran dan adaptasi iklim yang agak ketinggalan. Isu Banjir kilat berlaku disebabkan pembangunan lebih cepat daripada naik taraf sistem perparitan,” katanya.
Dr Muhammad Azwan berkata masalah perumahan pula berpunca daripada ketidaksepadanan antara penawaran dan keperluan sebenar rakyat.
“Banyak rumah dibina bukan untuk keperluan sebenar rakyat, tetapi lebih kepada pelaburan yang menyebabkan isu kemampuan dan akhirnya menyumbang kepada gelandangan bandar.
“Pendekatan sosial yang masih fragmentasi juga antara kelemahan utama yang menyumbang kepada permasalahan ini.
“Isu gelandangan misalnya bukan sekadar perumahan, tapi membabitkan pekerjaan, kesihatan mental dan sokongan sosial yang masih belum cukup bersepadu,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Muhammad Azwan mencadangkan beberapa langkah segera dan jangka panjang bagi menangani isu berkenaan secara lebih berkesan.
“Bagi jangka pendek, antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk menambah baik sistem ‘last mile connectivity’ pengangkutan awam dengan meningkatkan bas pengantara, laluan pejalan kaki serta kemudahan mobiliti mikro.
“Selain itu, pelaksanaan sistem amaran awal dan mitigasi banjir pintar di kawasan berisiko tinggi juga perlu diperkasakan, di samping mengawal pembangunan projek perumahan baharu dengan memberi keutamaan kepada rumah mampu milik sebenar, bukan overhang high-end,”katanya.
Untuk jangka panjang pula, beliau menekankan keperluan peralihan serius kepada konsep bandar berasaskan transit (TOD).
“Integrasi data bandar pintar perlu diperkukuh bagi mengurus trafik, banjir dan utiliti secara masa nyata.
“Akhir sekali reformasi dasar perumahan termasuk model sewa milik, kawalan spekulasi dan pembangunan inklusif,” katanya.
Dr Muhammad Azwan berkata Kuala Lumpur sebenarnya bukan kekurangan pelan tetapi memerlukan ketegasan pelaksanaan, integrasi dasar dan keberanian untuk buat reform besar.
“Kalau itu dapat dibuat, saya percaya ranking itu bukan sekadar nombor, tapi benar-benar mencerminkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




