Selangor desak tubuh badan pengadil profesional

Selangor desak tubuh badan pengadil profesional

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC dan beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) menggesa penubuhan badan pengadil profesional dilaksanakan segera bagi mengangkat kredibiliti saingan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan langkah itu tidak lagi boleh ditangguhkan jika Liga Malaysia (Liga M) mahu bergerak ke arah lebih telus dan diyakini semua pihak.

Menurutnya, badan pengadil profesional yang bebas mampu memastikan keputusan di atas padang lebih konsisten selain memperkukuh integriti pertandingan.

“Sudah tiba masanya kita ada badan pengadil profesional yang berdiri sendiri. Ini penting untuk tingkatkan keyakinan terhadap sistem pengadilan kita.

“Kalau mahu Liga Malaysia jadi penanda aras di rantau ASEAN, aspek ini perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi meja bulat anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil kelab Liga-M, Rabu lalu.

Dalam masa sama, Johan turut mencadangkan agar Rakan Kongsi Liga diberi peranan lebih besar dalam struktur tadbir urus liga termasuk penambahan kerusi dalam lembaga pengarah MFL.

Katanya, ketika ini hanya tiga daripada 10 kerusi diisi wakil kelab, dan jumlah itu dilihat tidak mencerminkan peranan besar mereka sebagai pemegang taruh utama.

“Saya rasa wajar jika wakil kelab diberikan sekurang-kurangnya majoriti, contohnya enam daripada 10 kerusi dalam lembaga,” katanya.

Sesi meja bulat itu diadakan susulan gesaan beberapa kelab yang mahukan satu platform rasmi bagi membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan dan hala tuju liga.

Antara isu yang terus berulang ialah masalah tunggakan gaji serta peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan Liga M.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top