asyikin.mat@hmetro.com.my
Kebelakangan ini, semakin banyak kes pembunuhan berlaku menimbulkan kebimbangan seolah-olah nilai nyawa manusia semakin murah.
Terbaru kelmarin, Nurfisya Zulkifly, 19, menjadi mangsa bunuh di Ketereh dengan 61 tikaman, menjadikan ia siri terbaru pembunuhan tidak berperikemanusiaan di negara ini.
Ikuti wawancara bersama Pegawai Psikologi Kanan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) RAFIDAH SADARUDIN bersama wartawan NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN bagi mengupas isu ini.
>Adakah faktor usia muda menyebabkan seseorang mudah hilang kawalan emosi apabila berlaku pertelingkahan?
Ya, usia muda boleh menjadi salah satu faktor yang menyebabkan seseorang lebih mudah hilang kawalan emosi ketika pertelingkahan, tetapi ia bukan satu-satunya faktor.
Dalam bidang psikologi perkembangan, terdapat beberapa sebab utama mengapa golongan muda lebih cenderung bertindak secara impulsif.
Perkembangan otak belum matang sepenuhnya. Bahagian otak yang mengawal pertimbangan rasional, kawalan diri dan membuat keputusan, iaitu Prefrontal Cortex, masih dalam proses perkembangan sehingga sekitar umur pertengahan 20-an.
Bagaimana emosi seperti marah atau rasa tercabar boleh mempengaruhi tindakan di luar kawalan termasuk membunuh?
Antara tahap yang sering digunakan ialah tahap marah yang paling ringan (irritation) iaitu individu rasa tidak selesa, terganggu atau sedikit tidak puas hati.
Seterusnya adalah tahap kekecewaan (frustration). Tahap ini berlaku apabila keperluan atau matlamat tidak tercapai. Emosi mula lebih kuat dan individu mungkin menunjukkan reaksi seperti mengeluh atau meninggikan suara.
Satu lagi tahap ialah marah yang kuat (anger), iaitu emosi marah jelas dan ketara. Individu cenderung menunjukkan ekspresi wajah tegang, suara kuat atau kata-kata keras.
Tahap paling tinggi adalah tahap kemarahan melampau (rage). Ini adalah tahap marah yang sukar dikawal. Ia boleh menyebabkan tindakan agresif sama ada secara verbal atau fizikal.
Apakah langkah pencegahan yang boleh dilakukan keluarga atau rakan untuk mengelakkan pertelingkahan bertukar pembunuhan?
Antara langkah pencegahan boleh diambil ialah keluarga atau rakan perlu peka terhadap perubahan tingkah laku yang menunjukkan konflik semakin serius.
Contoh kemarahan melampau dan sukar dikawal, ugutan atau ancaman terhadap orang lain, penggunaan kata kasar, penghinaan berulang serta peningkatan tingkah laku agresif.
Selain itu, menggalakkan komunikasi membina, terbuka empati dapat mengurangkan salah faham serta ketegangan emosi.
Dalam keadaan konflik yang tegang, individu dipercayai seperti ahli keluarga, rakan rapat boleh bertindak sebagai pihak ketiga yang neutral untuk membantu meredakan keadaan dan memudahkan proses penyelesaian konflik.
Bolehkah pendidikan emosi dan kemahiran kawalan diri mengurangkan risiko kejadian seperti ini?
Apa juga yang kita lalui dalam hidup, penting untuk sentiasa mencari ilmu.
Melalui ilmu juga, kita boleh belajar mendidik dan mengawal emosi dengan lebih baik agar risiko berlakunya kejadian tidak diingini dapat dikurangkan.
Teknik pernafasan memainkan peranan yang sangat penting apabila kita sedang marah. Tarik nafas secara perlahan melalui hidung selama empat saat sehingga paru-paru terasa penuh.
Kemudian tahan nafas (empat saat). Pada masa ini, cuba kekalkan keadaan badan yang tenang.
Disusuli dengan hembus nafas (selama empat saat) secara perlahan melalui mulut sehingga udara keluar sepenuhnya.
Akhirnya, tahan selepas hembusan (empat saat). Selepas menghembus nafas, tahan seketika empat saat sebelum menarik nafas semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd



