London: Mikel Arteta memberi amaran kepada Manchester City bahawa Arsenal masih belum mahu mengalah selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melebarkan jurang enam mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Fulham, awal pagi tadi.
Anak buah Arteta tidak berdepan masalah apabila membenam Fulham menerusi tiga gol pada babak pertama di Stadium Emirates.
Viktor Gyokeres membuka tirai jaringan sebelum Bukayo Saka menambah gol kedua, diikuti Gyokeres yang melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal.
The Gunners kini mencipta jurang selesa di depan City di tangga kedua ketika memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun.
City bakal mengharungi aksi pertama daripada dua perlawanan dalam tangan apabila bertandang ke Everton, awal pagi Selasa ini.
Selepas mempamerkan tanda-tanda goyah susulan kekalahan kepada City dan Bournemouth pada bulan lalu, Arsenal kembali bangkit tepat pada masanya untuk memberi tekanan kepada skuad kendalian Pep Guardiola.
City mampu menyamai pungutan mata Arsenal yang ketika ini memiliki kelebihan perbezaan jaringan, sekiranya mereka memenangi baki perlawanan dalam tangan.
Mengulas baki perlawanan liga Arsenal, Arteta berkata: “Perlawanan kedua selesai. Masih ada tiga lagi. Kami sudah mencatat kemenangan terbanyak dalam sejarah kelab bagi satu musim dan ia masih belum berakhir.
“Ia perlawanan penting kerana kami tahu betapa mustahaknya kemenangan serta perbezaan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris.
“Ini adalah persembahan berpasukan yang hebat. Kami bermula seperti yang dirancang, sangat bertenaga dan agresif ketika berdepan tekanan tinggi.
“Kami menaikkan semangat penyokong dan apabila stadium mencipta suasana seperti itu, ia cukup sukar buat pihak lawan.”
Bukayo Saka menjadi tonggak utama kepada peningkatan Arsenal dalam penampilan pertamanya selepas kembali daripada kecederaan Achilles yang menyebabkannya terlepas lima perlawanan.
“Kami tahu apa yang dia mampu lakukan. Dia kembali pada saat paling penting musim ini. Fikirannya segar, dia mempunyai keinginan yang tinggi.
“Kami sedang meningkatkan minit permainannya secara berperingkat. Kami perlu berhati-hati kerana kami memerlukannya berada di atas padang,” kata Arteta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




