Harga daun kari meningkat sehingga RM18 sekilogram

Harga daun kari meningkat sehingga RM18 sekilogram

am@hmetro.com.my

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan harga daun kari di pasaran kini dijual antara RM14 hingga RM18 sekilogram.

Pegawai Pendidikan Pertanian CAP, NV Subbarow berkata, maklumat itu diperoleh menerusi tinjauan pihaknya di beberapa pasar awam baru-baru ini.

Katanya, amat mengejutkan apabila harga bagi segenggam daun kari atau kira-kira 100 gram itu dijual pada harga antara RM3 hingga RM4.

“Ada beberapa pasar didapati menjual daun kari pada harga tinggi. Dulu, daun kari sering diberi percuma kepada pelanggan jika mereka membeli kelapa tetapi kini tidak lagi.

“Sepatutnya, harga daun kari berharga kira-kira RM1 sekilogram, tetapi kini meningkat antara RM14 hingga RM18 sekilogram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Subbarow berkata, pihaknya mengulang seruan supaya masyarakat menanam sendiri sayuran atau tanaman herba di rumah sebagai langkah penjimatan.

Katanya, tanaman seperti daun kari memerlukan modal sebanyak RM1 saja serta tidak menggunakan ruang yang banyak.

“Hanya bermodalkan 50 sen atau RM1 jika tanam sendiri tanaman malah ia diyakini selamat serta tanpa bahan kimia.

“Amalan itu menjimatkan wang dan tidak perlu pergi ke pasar selain menjimatkan minyak kenderaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top