Munoz bangga JDT cipta rekod baharu 103 gol

Munoz bangga JDT cipta rekod baharu 103 gol

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menzahirkan kebanggaan apabila berjaya membmbing pasukan melakar rekod baharu jaringan terbanyak semusim dalam saingan Liga Super selepas meledak 103 gol dalam 23 perlawanan, dengan mempunyai satu perlawanan yang perlu diharungi

Meskipun berjaya meletak penanda atas baharu dalam liga elit domestik, Munoz menyifatkan angka itu hanyalah sekadar statistik yang tidak akan bermakna tanpa kerja keras dan komitmen tinggi setiap pemain terhadap pasukan.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama adalah untuk terus berkembang menjadi pasukan yang lebih baik bagi membolehkan mereka meneruskan dominasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Sudah tentu saya gembira dengan rekod jaringan ini, bukan mudah untuk mencipta rekod baharu selepas JDT sendiri meletakkan satu standard yang sangat tinggi, ia menjadi pembakar semangat buat pemain.

“Rekod 103 gol itu hanyalah satu angka. Di sebalik angka itu, ia adalah hasil usaha keras setiap pemain dari minit pertama sehingga wisel penamat.

“Sudah pasti musim depan kami akan cuba memberikan yang terbaik dan melangkah setapak lagi ke hadapan. Mungkin fokus kami adalah untuk tidak memboloskan gol atau mungkin menjaringkan lebih banyak gol lagi,” katanya.

Untuk rekod, JDT memecah rekod jaringan terbanyak Liga Super semusim yang dicipta pasukan itu pada 2023 di bawah kendalian Esteban Solari selepas menjaringkan 100 gol dalam 26 perlawanan, dengan purata hampir 3.8 gol bagi setiap perlawanan.

Kemenangan 7-0 ketika membelasah Kuala Lumpur (KL) City malam tadi menyaksikan JDT mencatat 107 perlawanan tanpa kalah dan mampu menyamai rekod ASEC Mimosas dari Ivory Coast yang mencatat 108 perlawanan tanpa kalah dari tahun 1989 hingga 1994 apabila berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW), Ahad depan.

Di tanya mengenai desas desus status naturalisasi dua pemainya, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengambil pendekatan `mengunci mulut’ bagi mengulas dua pemain skuad Harimau Selatan.

Malah beliau tampak enggan membuat sebarang pengesahan sebaliknya menegaskan perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan dan perlu menunggu perkembangan lanjut sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

Sebelum ini, nama Hidalgo dan Bergson antara pemain yang disebut-sebut bakal mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa sebagai pemain naturalisasi.

“Sudah tentu ia bakal menjadi perkara yang positif apabila Bergson dan Hidalgo mempunyai kapasiti untuk mendapatkan pasport Malaysia.

“Memandangkan mereka berdua adalah pemain yang bagus jika ada kaitan untuk mewakili Malaysia dan positifnya mereka berada di dalam pasukan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top