Ucapan terima kasih anak, penghargaan besar buat Diana Danielle

Ucapan terima kasih anak, penghargaan besar buat Diana Danielle

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Diana Danielle meluahkan rasa syukur apabila kehadiran dua permata hatinya iaitu Muhammad, 13, dan Nur Aurora, 11, menjadi sumber kekuatan serta pemulih semangat dalam mengharungi pasang surut kehidupan sebagai seorang ibu.

Menerusi hantarannya di Threads awal pagi ini, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 35, mengakui sering dibelenggu rasa rendah diri dan ragu-ragu terhadap kemampuannya menggalas tanggungjawab sebagai ibu yang terbaik buat anak-anak.

“I (Saya) tak sedih anak-anak makin membesar. I bangga dengan diri I yang tidak pernah rasa ‘I am a good mom’ (ibu yang baik). I habiskan banyak masa bekerja, I adalah ‘breadwinner’ (pencari nafkah) dari remaja sampai sekarang.

“I hanya tahu bekerja. Jadi, anak-anak selalu kena berkongsi ibu mereka dengan kerjayanya,” tulisnya pada hantaran berkenaan.

Pelakon filem Magika itu juga tidak berselindung apabila dia sering berasa letih untuk melayani kerenah anak-anak, selain bimbang sekiranya mereka jauh daripadanya.

Bagaimanapun, segala penat lelah dan pengorbanan Diana selama ini ternyata dihargai apabila anak-anaknya sering memberi kata-kata semangat yang membina semula harga dirinya.

“Sekarang, setiap hari I akan dengar; ‘Terima kasih Ibu kerana bekerja keras untuk kami’, ‘Terima kasih kerana menjadi ibu yang paling baik’, ‘Ibu, kalau ibu rasa ibu tak buat yang terbaik, ketahuilah ibu adalah ibu yang hebat dan saya sayangkan ibu lebih daripada seluruh alam semesta ini’.

“Malah, ada yang mereka kata satu hari nanti, ‘ibu tak perlu bekerja lagi, saya akan jaga semuanya’,” kongsinya.

Tambah Diana, dia sama sekali tidak menyangka akan mendapat kasih sayang dan penghargaan begitu besar daripada anak-anaknya.

“Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Melalui anak-anak, Dia memulihkan harga diri, ketenangan dan kejelasan dalam hidup saya.

“Terlalu banyak mahu diceritakan, tetapi saya sangat bersyukur dengan kehadiran dua malaikat ini… memang kiriman paling indah yang pernah ku miliki,” kongsinya lagi.

Diana pernah berkahwin dengan pelakon Farid Kamil, 44, pada 3 November 2012, namun mereka sah bercerai kali kedua pada 24 Mac tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup bersama itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini di bawah penjagaan penuh Diana, manakala hubungan Farid dengan anak-anak juga rapat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top