Guna AI tidak bermakna terus bergelar komposer – Ikhwan Fatanna

Guna AI tidak bermakna terus bergelar komposer – Ikhwan Fatanna

Walaupun ramai mengenalinya sebagai komposer di sebalik karya popular seperti Luluh, perjalanan seni Ikhwan Fatanna sebenarnya bermula sebagai seorang penyanyi yang membawa impian besar untuk berdiri megah di pentas sendiri.

Tidak ramai mampu bertahan dalam industri hiburan yang penuh persaingan. Namun Ikhwan membuktikan bakat di belakang tabir juga mampu membuka jalan yang lebih luas. Kini, ketika industri muzik semakin dicabar dengan kemunculan teknologi AI yang mampu ‘menghasilkan’ lagu hanya dengan beberapa arahan ringkas, Ikhwan tampil dengan pendirian yang tegas.

Baginya, teknologi boleh membantu, tetapi jiwa sesebuah lagu tetap lahir daripada kreativiti dan kejujuran seorang manusia.

 

Pernahkah Ikhwan berasa terkilan jika orang lebih mengenali anda hanya sebagai seorang komposer berbanding penyanyi?

Sebenarnya saya tidak kisah kerana dalam industri ini, kita semua mencari rezeki. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai kerjaya sebagai pencipta lagu juga. Sekurang-kurangnya saya tidak bergantung sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian sahaja. Saya juga tidak perlu mengharapkan komposer lain untuk memberikan lagu kepada saya. Sebagai komposer, saya mempunyai kelebihan untuk memilih lagu mana yang sesuai untuk saya nyanyikan sendiri dan lagu mana yang ingin diberikan kepada artis lain.
Saya turut menumpang gembira dengan kejayaan artis-artis yang saya hasilkan lagunya, seperti kemenangan Marsha Milan baru-baru ini yang membuka banyak peluang buat saya, termasuk tugasan bersama pihak Astro. Sekarang adalah masa untuk saya lebih fokus menonjolkan diri di depan tabir. Sebelum ini saya banyak bekerja di belakang tabir. Namun jika saya tidak tampil ke hadapan, orang tidak akan mengenali saya.

 

Sekarang ini ramai sudah mula menghasilkan lagu dengan mudah menggunakan teknologi AI (Kecerdasan Buatan). Perkara ini seolah-olah menutup pintu rezeki komposer yang memerah otak untuk menghasilkan karya. Apa pendapat Ikhwan?

Secara tidak langsung, memang terkesan. Pendengar sekarang lebih suka mendengar bahan yang dihasilkan oleh AI. Kita boleh melihat corak ini di TikTok dan media sosial lain. Ada yang membandingkan hasil AI dengan penyanyi sebenar. Pada pendapat saya, pendidikan tentang perkara ini sangat penting. AI sepatutnya digunakan sebagai alat bantuan sahaja, bukan sebagai cara untuk kita mengaku sebagai pencipta lagu. Menggunakan prompt AI bukanlah satu penciptaan karya yang asli. Kita hanya mengarahkan AI untuk membuat lagu berentak balada atau menggunakan bunyi gitar tertentu. Di situlah perlunya pemahaman tentang etika penggunaan AI.
Saya menyokong usaha badan-badan seperti Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) untuk mewujudkan peraturan atau akta bagi menjaga hak cipta karya asal. Masalah sekarang adalah, lagu-lagu lama turut di-AI-kan dan dijana semula tanpa memberikan sebarang pulangan kepada pencipta asal. Sedangkan pihak lain memperoleh jumlah tontonan dan pengikut yang ramai. Sebagai manusia, kita perlu menghargai karya orang lain.

 

Adakah Ikhwan sendiri pernah mencuba atau menggunakan AI?

Ya, saya ada menerokai teknologi tersebut kerana kita tidak boleh ketinggalan dengan arus teknologi. AI sangat membantu komposer untuk mendapatkan idea bagi konsep lagu. Namun, melodi dan lirik mestilah datang daripada kreativiti kita sendiri.Kita perlu ada etika. Contohnya, jika sesebuah lagu AI dicalonkan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), tidak wajarlah kita mengaku bahawa itu adalah lagu ciptaan kita sepenuhnya.
Bagi saya, AI memudahkan proses kerja. Sebelum ini kita perlu ke studio, tetapi sekarang di rumah pun sudah boleh berkarya. Proses susunan muzik menjadi lebih cepat.
Namun, penggunaan AI tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai komposer. AI mungkin boleh mencantikkan susunan muzik, tetapi melodi dan lirik yang mempunyai ‘jiwa’ masih memerlukan sentuhan manusia. Lagu AI biasanya bersifat sementara dan hanya popular mengikut trend. Ia tidak akan bertahan lama atau mempunyai penjiwaan yang mendalam.

 

Sebagai juri di pentas anugerah tanah air, adakah kriteria penyertaan perlu diperketatkan supaya lagu AI tidak bertanding secara tidak adil dengan lagu ciptaan asal?

Ya. Tidak adil bagi mereka yang menghasilkan lagu dari peringkat awal jika terpaksa bersaing dengan lagu yang hanya menggunakan AI sepenuhnya.Kita harus menjaga integriti karya seni. Saya akui keadaan sekarang memang mencabar bagi penggiat seni, tetapi saya percaya pada rezeki.

 

Scroll to Top