Suami isteri maut dipercayai dilanggar pemandu mabuk

Suami isteri maut dipercayai dilanggar pemandu mabuk

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta hilang kawalan yang dipandu lelaki disyaki mabuk di Jalan Ampang, berhampiran Menara Great Eastern, di sini semalam.

Dalam kejadian pada 5.34 pagi itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isteri berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan motosikal Honda Wave Alpha yang dinaiki pasangan itu dan kereta jenis Toyota Vios.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran berkenaan, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta dan dua penumpang lelaki berusia 23 tahun dan 24 tahun cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu dan penumpang hadapan (23 tahun) cedera di kepala masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur, sementara penumpang belakang yang luka di bahagian bibir dan lidah sudah dibenar pulang.

“Pemandu berkenaan disyaki mabuk, namun memandangkan dia masih menerima rawatan di HKL, polis sudah mengambil sampel darah dan air kencing untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Rakannya yang duduk di tempat duduk belakang sudah membuat laporan polis serta dirakam percakapannya pada hari kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, JSPT Kuala Lumpur menyeru orang ramai atau saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top