Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara.
Menurut beliau, kadar semasa sekitar RM1,500 per tan metrik dilihat tidak lagi mencukupi, justeru kenaikan kepada RM3,000 dianggap munasabah bagi menjamin kelangsungan hidup pesawah.
“RM3,000 itu kita boleh bagi akujanji dalam manifesto PRU nanti dan insya-ALLAH akan dilaksanakan.
“Harga lantai yang lebih stabil mampu meningkatkan produktiviti penanaman padi,” katanya, petik Sinar Harian ketika berucap pada Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi pada Ahad.

Beliau berkata, penetapan harga yang lebih kompetitif itu juga selari dengan tuntutan pesawah yang mahukan margin keuntungan lebih baik berikutan peningkatan kos operasi semasa.
Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dilaporkan menuntut harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan metrik bagi memastikan kebajikan pesawah terus terjamin.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pengalaman PN mentadbir negara sebelum ini membuktikan gabungan itu mampu melaksanakan dasar pro-rakyat termasuk dalam sektor pertanian.

Artikel lain: Sanusi dedah ada tokoh besar mahu sertai PN – “Banyak sedang berkawan dengan kita”
Katanya, sepanjang pentadbiran pada 2020 dan 2021, kerajaan PN menyalurkan kira-kira RM530 bilion melalui pelbagai pakej rangsangan bagi menyokong rakyat ketika pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir pentadbiran semasa dengan menyatakan keyakinan bahawa tiada alasan untuk kerajaan hari ini menafikan keperluan bantuan kepada rakyat.
“Oleh itu kita yakin tiada alasan untuk kerajaan hari ini yang menyatakan bahawa tak ada duit untuk memberikan subsidi diesel kepada rakyat terutamanya kepada petani yang jentera guna diesel dan memerlukan bantuan kerajaan. Kalau tak tolong buat apa jadi kerajaan,” katanya.
Menurut beliau lagi, PN akan terus membawa suara pesawah melalui siri himpunan aman yang dirancang di beberapa lokasi termasuk di ibu negara bagi memastikan isu kebajikan petani diberi perhatian sewajarnya.




