Cadangan Velodrom Azizulhasni dapat ‘lampu hijau’ KBS

Cadangan Velodrom Azizulhasni dapat ‘lampu hijau’ KBS
Cadangan Velodrom Azizulhasni dapat ‘lampu hijau’ KBS

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari hafir menyaksikan perebutan tali pinggang kejuaraan pada kejohanan Malaysia International Muay Championship (MiMAC) 3.0 di Dataran Warisan malam ini. Foto Bernama

TAIPING – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik cadangan untuk menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai sebagai Velodrom Azizulhasni, sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Menterinya, Dr Muhammad Taufiq Johari berkata, pihak kementerian terbuka untuk meneliti cadangan tersebut secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan khususnya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menurutnya, pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu merupakan aset negara yang wajar terus dihargai dan diangkat ke tahap sewajarnya baik di peringkat kementerian mahupun kerajaan.

“Di peringkat kementerian, kita menyambut baik usul tersebut dan sudah pasti perbincangan lebih mendalam akan diadakan dengan persatuan serta semua pihak terlibat.

“Datuk Jijoe (Azizulhasni) adalah aset yang perlu kita jaga dan lestarikan. Insya-Allah KBS sentiasa terbuka dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perasmian Penutup Malaysia International Muay Championship 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan di sini pada Ahad.

Turut hadir, Presiden Persatuan Tomoi Perak, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab.

Sebelum ini, PKBM meluluskan usul menamakan semula Velodrom Nasional sebagai Velodrom Azizulhasni dalam Mesyuarat Agung Tahunannya.

Presidennya, Amarjit Singh Gill berkata, cadangan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan badan induk tersebut dan akan dibawa kepada KBS untuk pertimbangan memandangkan fasiliti berkenaan merupakan milik kerajaan.

Velodrom Nasional yang menelan kos pembinaan RM80 juta itu dirasmikan pada 2017 oleh lima jaguh berbasikal negara termasuk Azizulhasni.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Taufiq menegaskan bahawa keputusan sama ada Azizulhasni akan meneruskan karier hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) perlu diserahkan sepenuhnya kepada atlet berkenaan.

Menurutnya, kementerian memberi ruang dan kebebasan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu untuk membuat keputusan terbaik mengenai masa depannya.

“Perkara ini masih lagi di tahap perbincangan. Sudah pasti kita memberikan kebebasan dan ruang secukupnya untuk beliau memikirkan perkara tersebut,” katanya.

 

Scroll to Top