
Dr Mohammed Taufiq (empat dari kanan) bergambar bersama peninju Thailand, Phetpairin (tengah) selepas peninju tersebut memenangi perebutan tali pinggang kejuaraan pada kejohanan MiMAC 3.0 di Dataran Warisan, Taiping pada Ahad. FOTO: Bernama
TAIPING – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan pascanilai berhubung prestasi skuad badminton negara di Piala Thomas 2026 dan Piala Uber 2026 sebelum langkah penambahbaikan dilaksanakan secara menyeluruh.
Menterinya, Dr Muhammad Taufiq Johari berkata, penilaian itu penting bagi mengenal pasti kelemahan sebenar selain dijadikan indikator serta garis panduan untuk memperkukuh prestasi atlet negara.
Menurutnya, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) termasuk Presiden dan jawatankuasa berkaitan sebaik laporan berkenaan diperoleh.
“Post-mortem yang dilaksanakan itu akan menjadi indikator dan garis panduan kita untuk memastikan atlet-atlet dapat terus meningkatkan prestasi mereka.
“Apa juga kekurangan, perlu kita laksanakan langkah penyelesaian dengan segera,” katanya kepada pemberita sempena Perasmian Penutup Malaysia International Muay Championship 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan di sini pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Persatuan Tomoi Perak, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab.
Dalam pada itu, Muhammad Taufiq mengakui prestasi skuad negara dalam dua kempen kejohanan berkenaan tidak mencapai sasaran, namun tetap optimis dengan kemampuan pemain yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang kejohanan.
“Kita akui ada sedikit yang tidak diharapkan, namun saya masih optimis dengan pemain-pemain kita dan mengucapkan tahniah atas usaha mereka.
“Kita akan memastikan pembangunan pemain diteruskan dan bekerjasama rapat dengan BAM bagi mempertingkatkan prestasi,” katanya.
Malaysia sebelum ini menamatkan kempen kedua-dua kejohanan berprestij itu di peringkat suku akhir selepas tewas kepada China.


