Milan: Inter Milan merangkul gelaran ketiga Serie A dalam tempoh enam musim selepas menewaskan Parma 2-0, awal pagi tadi, sekali gus mencetuskan sambutan meriah di San Siro dan seluruh bandar Milan.
Jaringan Marcus Thuram pada penghujung separuh masa pertama meletakkan Inter di depan sebelum gol separuh masa kedua Henrikh Mkhitaryan mengesahkan kejuaraan Scudetto.
Dengan baki tiga perlawanan, Inter kini mendahului 12 mata ke atas juara bertahan, Napoli dan 15 mata di hadapan pasukan di tempat ketiga, AC Milan.
San Siro bertukar menjadi lautan biru-hitam, manakala ribuan penyokong turut berkumpul di hadapan katedral Duomo Milan untuk meraikan kejuaraan Serie A ke-21 kelab itu.
Inter berjaya bangkit di bawah bimbingan jurulatih, Cristian Chivu, yang ketika mengambil alih tugas musim panas lalu masih dianggap kurang berpengalaman di peringkat tertinggi.
Hanya setahun selepas tewas tipis dalam perebutan gelaran 2025 dan diaibkan 0-5 oleh Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara, Inter kini kembali ke puncak.
“Pada hari ini kami semua gembira, tetapi kami tidak boleh lupa kerja keras yang dilakukan kerana sangat sukar untuk bangkit selepas musim lalu,” kata kapten Inter, Lautaro Martinez.
Inter banyak bergantung kepada Chivu, bekas pemain kelab itu yang dilantik secara mengejut pada Jun tahun lalu bagi menggantikan Simone Inzaghi, yang sebelum ini memenangi enam trofi dan membawa Inter ke dua final Liga Juara-Juara dalam empat musim sebelum berhijrah ke Arab Saudi.
Dengan langkah kecil tetapi berkesan serta tanpa banyak pembelian besar, Chivu berjaya memberi nafas baharu kepada pasukan.
Inter kini berpeluang melengkapkan kejuaraan berganda liga dan piala ketiga dalam sejarah kelab jika menewaskan Lazio pada final Coppa Italia 13 Mei ini di Stadium Olimpico, Rom.
© New Straits Times Press (M) Bhd



