
Hukuman mati Andrew dijadualkan berlangsung antara 2 hingga 9 Jun depan. Kredit/ Alaskas News Source.
FLORIDA – Seorang lelaki berdepan hukuman mati pada Jun depan atas kesalahan memecahkan tengkorak bayi berusia lima bulan sehingga maut dan mencampakkannya ke dalam kolam kira-kira 30 tahun lalu.
Pelaku, Andrew Richard Lukehart dari Jacksonville ketika itu dalam tempoh perbicaraan kerana kes penderaan kanak-kanak berat.
Menurut Pengarah Penjara Florida, Randall Polk, Andrew dijadualkan dihukum mati pada Selasa (2 Jun) jam 6 petang menggunakan kerusi elektrik.
Gabenor Ron DeSantis menandatangani waran hukuman mati Andrew pada 1 Mei lalu.
Pada 25 Februari 1996, Andrew berkata, dia sedang cuba menukar lampin mangsa, Gabrielle Hanshaw apabila bayi itu tidak mahu berbaring rata.
Dia kemudiannya menolak kepala dan leher bayi itu ke lantai secara kuat berulang kali.
Namun sebelum itu, Andrew memberitahu pihak polis bahawa dia telah menjatuhkan bayi tersebut, menggoncangnya dan kemudian dalam keadaan panik mencampakkan mayat ke dalam kolam selepas menyedari bayi itu sudah meninggal dunia.
Pemeriksa perubatan menyatakan sekurang-kurangnya lima hentakan berasingan pada kepala bayi tersebut telah direkodkan.
Andrew didapati bersalah kerana membunuh dan penderaan kanak-kanak berat pada 1997.
Setahun sebelum Gabrielle dibunuh, Andrew telah didapati bersalah atas penderaan kanak-kanak terhadap bayi lain.
Lelaki berkenaan ditahan selepas mahkamah mendapati dia menyebabkan tulang rusuk patah, pendarahan retina dan trauma kepala pada seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang mana ibunya sedang menjalin hubungan dengannya ketika itu.
Kes penderaan tersebut dilaporkan pada 1994 dan sabitan dijatuhkan dua tahun kemudian.
Setelah semua rayuan habis digunakan, hukuman mati Andrew dijadualkan berlangsung antara 2 hingga 9 Jun depan, menurut DeSantis. – AGENSI



