Pelakon jelita, Zahirah Macwilson menyuarakan pandangannya susulan isu tular melibatkan komen negatif yang diterimanya sebelum ini.
Katanya, dia berharap individu yang mendakwa dirinya sengaja memotong barisan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta bersama anaknya baru-baru ini bukan dalam kalangan kakitangan perubatan, sebaliknya pesakit di fasiliti tersebut.

Malah, pengalaman peribadinya bersama kakitangan di Pusat Perubatan Ara Damansara sentiasa positif, khususnya ketika mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya.
“Sangat berharap orang itu bukan kakitangan perubatan (sebaliknya mungkin pesakit di sana?) Kerana kakitangan di Pusat Perubatan Ara Damansara sentiasa baik dan prihatin kepada saya dan anak-anak saya. Dan saya memang selalu ke situ pada waktu kecemasan semenjak anak saya kecil lagi,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan agar orang ramai tidak mudah bersikap toksik apatah lagi jika ia melibatkan isu kesihatan.
“Point is, tak payah lah nak toksik sangat okay. Tidak kiralah awak siapa atau di mana awak bekerja terutamanya bila melibatkan kesihatan anak-anak.
“Orang tu pun dah delete. Dan saya berharap orang itu juga dapat belajar sesuatu,” katanya.

Terdahulu, seorang individu tampil meninggalkan komen menerusi ruangan sosial media apabila mendakwa dirinya menerima layanan ‘double standard’.
Bagaimanapun, sedar dengan tindakan tersebut, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza ini tampil menjelaskan menerusi hantaran di Instagram Story miliknya bahawa tindakannya ketika berada di hospital pada waktu itu tidak wajar dijadikan isu memandangkan dia sedang berdepan situasi kecemasan.





