Kru kapal terkandas di perairan Selat Hormuz di ambang bahaya

Kru kapal terkandas di perairan Selat Hormuz di ambang bahaya

PERTUBUHAN Maritim Antarabangsa (IMO) memberi amaran tentang nasib kru kapal yang terkandas di perairan berhampiran atau di Selat Hormuz susulan penutupan yang berlarutan sejak lebih dua bulan lalu.

Dianggarkan 20,000 kelasi di kira-kira 2,000 kapal komersial dipercayai terperangkap konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS) dan mereka berdepan bahaya fizikal serta tekanan psikologi yang biasanya berlaku di zon perang.

Kesemua kru terbabit terpaksa berjaga-jaga sepanjang masa terhadap ancaman bedilan misil, akibat situasi yang semakin meruncing di rantau tersebut.

Bekalan juga semakin berkurangan sehingga mereka terpaksa mencatu makanan dan air bersih serta bergantung kepada agihan bantuan oleh badan kebajikan di laut.

Jika perang tidak tamat, besar kemungkinan ribuan kelasi itu terpaksa terus bekerja walaupun selepas kontrak tamat, namun mereka berisiko tidak dibayar dan tidak dapat pulang ke tanah air.

Terdapat juga laporan bahawa segelintir mangsa yang terdesak menjadi sasaran penipu yang kononnya menawarkan laluan selamat melalui Hormuz sebagai pertukaran dengan mata wang kripto.

Golongan itu juga berdepan ketidakstabilan kewangan, ketidakpastian pekerjaan, risiko fizikal dan mental, pengasingan serta beban kerja berlebihan.

Keletihan melampau dan kekurangan tempoh berehat mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan yang serius memandangkan kebanyakan kapal kargo sering beroperasi tanpa kemudahan perubatan mencukupi dan doktor bertauliah.

Krisis semasa itu mengimbau kembali pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi ketika pandemik Covid-19.

Ketika itu seramai kira-kira 400,000 pelaut terkandas di laut dengan sebahagian besar daripada mereka tidak menerima gaji dan gagal dihantar pulang ke tanah air.

Beberapa pengendali kapal kemudian memperkenalkan klausa ‘tiada pertukaran kru’ (melarang pertukaran kelasi selagi kargo pengendali masih berada atas kapal).

Klausa berkenaan didakwa menjejaskan hak pelaut di bawah Konvensyen Buruh Maritim 2006 yang bertujuan menjamin keselamatan, perlindungan dan persekitaran kerja yang baik serta melindungi hak golongan itu.

Susulan pindaan konvensyen itu, kelasi kini diklasifikasikan sebagai ‘kru penting’, sekali gus membuka ruang kepada akses yang lebih mudah bagi cuti darat, penghantaran pulang ke tanah air, pertukaran kru dan rawatan perubatan di darat. Bagaimanapun ia hanya akan berkuat kuasa pada Disember 2027.

Pada tahun lalu, seramai 6,223 pelaut ditinggalkan di atas 410 kapal yang menandakan peningkatan untuk tahun keenam berturut-turut.

Menurut Rangkaian Kebajikan dan Bantuan Pelaut Antarabangsa, kemungkinan terdapat lebih banyak kes yang tidak dilaporkan kerana kelasi bimbang diberhentikan kerja dan disenarai hitam daripada peluang pekerjaan lain.

Petunjuk awal bagi 2026 pula menunjukkan bahawa jumlah kru yang ditinggalkan oleh pemilik kapal telah melebihi 6,000 kes.

Kebanyakan kes pengabaian itu dikaitkan dengan ‘armada bayangan’ iaitu kapal-kapal yang mengangkut minyak, gas dan barangan lain dengan melanggar sekatan.

Ia berkembang sehingga merangkumi 20 peratus daripada kapal tangki dunia dan 7.5 peratus daripada kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG).

Kepentingan Selat Hormuz

Negara-negara Teluk sedang berusaha mencari laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap Selat Hormuz, susulan ketegangan dan risiko gangguan di laluan perairan strategik itu namun, pakar berpendapat bahawa rancangan untuk memintas selat tersebut agak mustahil untuk direalisasikan.

Selat Hormuz merupakan laluan utama bagi eksport minyak dan gas dari negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar ke pasaran dunia.

Kebergantungan yang tinggi terhadap laluan tersebut menjadikannya amat penting dalam rantaian bekalan tenaga global, tetapi pada masa yang sama turut mendedahkannya kepada risiko geopolitik.

Beberapa negara Teluk telah mencadangkan pembangunan paip minyak tambahan, penggunaan pelabuhan luar kawasan Teluk dan pembinaan rangkaian pengangkutan darat serta rel.

Inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku gangguan berlarutan di Selat Hormuz.

Namun, cabaran utama ialah kos pembinaan yang sangat tinggi, tempoh pelaksanaan yang panjang dan kapasiti infrastruktur sedia ada yang masih tidak mencukupi untuk menggantikan peranan selat tersebut.

Walaupun terdapat beberapa projek paip minyak dibangunkan, ia hanya mampu menampung sebahagian kecil daripada jumlah eksport tenaga negara-negara berkenaan.

Cadangan laluan alternatif lain pula masih belum mencapai tahap operasi penuh.

Pelbagai isu yang timbul menunjukkan laluan tersebut masih kekal sebagai nadi utama perdagangan minyak dan gas dunia buat masa ini.

Scroll to Top