am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang lelaki warga tempatan yang lemas di Pantai Sungai Labu, Kampung Sungai Leman, Sekinchan, kelmarin sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pemuda berusia 21 tahun itu dikatakan menjaring ikan sebelum terjatuh ke dalam laut.
Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai insiden menimpa mangsa yang bekerja sebagai pesawah, jam 7.26 malam.
“Mangsa dijumpai di atas pengusung jalan ban laut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa sebelum itu berada dalam laut selama kira-kira dua jam sebelum dijumpai seorang lelaki,” katanya ketika dihubungi.
Md Yusof berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.
“Orang ramai yang berkunjung atau menjalankan aktiviti di kawasan laut dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga tempatan ditemukan lemas di pantai terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd



