Gara-gara hutang, hilang poin permainan rakan dibunuh

Gara-gara hutang, hilang poin permainan rakan dibunuh
Gara-gara hutang, hilang poin permainan rakan dibunuh

Kejadian berkenaan turut terakam CCTV. Foto tular/media sosial

TAIWAN – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menikam rakannya hingga maut susulan pertikaian membabitkan hutang sebanyak TWD1,500 (kira-kira RM200) dan kehilangan poin permainan video, lapor United Daily News.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi Rabu minggu lalu di sebuah lorong di Jalan Zhongzheng Seksyen 1, Daerah Hunei, Kaohsiung.

Menurut laporan, mangsa yang dikenali dengan nama keluarga Zhang sebelum itu meminjam akaun permainan mudah alih milik suspek, namun kehilangan poin permainan yang telah dikumpul dalam akaun berkenaan.

Mangsa juga dilaporkan berhutang sebanyak TWD1,500 dengan suspek, yang menuntut bayaran tunai sebagai pampasan bagi hutang serta kehilangan poin permainan tersebut.

Pertelingkahan antara kedua-duanya bagaimanapun bertukar tegang walaupun beberapa rakan cuba meleraikan keadaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang berpakaian putih keluar dari sebuah premis sebelum menyerang mangsa yang berada berhampiran.

Suspek kemudian menikam leher mangsa menggunakan pisau buah ketika beberapa saksi cuba campur tangan.

Mangsa yang mengalami pendarahan serius sempat cuba berundur sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Seorang saksi berusia 34 tahun dikenali sebagai Xu berkata, suspek menghubunginya lebih awal pada malam kejadian dalam keadaan gelisah dan memaklumkan hasrat untuk bertemu mangsa bagi menuntut hutang tersebut.

Scroll to Top