nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Tindakan licik seorang wanita melakukan pengisian petrol bersubsidi secara berulang mengundang padah selepas ditahan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Chabang Empat di sini, pagi semalam.
Tangkapan terhadap wanita berusia 59 tahun itu dilakukan jam 7.05 pagi menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, operasi berkenaan dilakukan bersama dengan Pasukan Polis Marin.
“Kita mengesan wanita berkenaan membuat pengisian petrol berulang kali di sebuah stesen minyak di Chabang Empat sebelum ditahan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit mendapati kereta jenis Perodua Kenari yang diubah suai dengan tangki khas bagi tujuan menyimpan petrol.
“Kita turut menyita sebanyak 50 liter petrol yang disedut keluar daripada tangki ubah suai berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM5,000 membabitkan kenderaan dan petrol yang dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
“KPDN Kelantan memberi amaran tegas bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di kawasan sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




